Home » Langit Terbuka » 4 ahli Hizbut Tahrir Malaysia didakwa langgar arahan mufti

4 ahli Hizbut Tahrir Malaysia didakwa langgar arahan mufti

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Empat ahli kumpulan ajaran sesat, Hizbut Tahrir Malaysia masing-ma­sing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, dekat sini hari ini atas pertuduhan melanggar arahan mufti, dua tahun lalu.

Abdul Hakim @ Ramizu Othman, 47; Wan Noorul Hisham Wan Salleh, 33; Hishamudin Ibrahim, 45 dan Sofian Jahir, 47, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Firdaus Mohed.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hakim yang merupakan jurucakap rasmi kumpulan itu dituduh telah melanggar arahan mufti yang dinyatakan melalui fatwa bertarikh 17 September 2015 mengenai kedudukan Hizbut Tahrir dengan cara mengadakan majlis sidang akhbar yang didakwa menghina pihak berkuasa agama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiga lagi ahli iaitu pimpinan pusat kumpulan itu, Wan Noorul Hisham dan dua ahlinya, Hishamudin serta Sofian pula didakwa telah bersubahat dengan Abdul Hakim untuk melakukan kesalahan sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 46(b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman serupa seperti Seksyen 12 (c).

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat kumpulan tersebut di No. 47-1, Jalan 7/7A, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dekat sini pada pukul 3.30 petang, 4 Disember 2015.

Ketua Pendakwa Syarie, Ja­batan Agama Islam Selangor (JAIS), Abdul Syukor Abdul Hamid yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan keempat-empat tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 setiap seorang.

Mahkamah membenarkan mereka yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM2,000 secara lisan dengan seorang penjamin pemastautin Selangor sebelum menetapkan 16 Mei ini, sebutan semula kes.

Pada 17 September 2015, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mewartakan fahaman serta ajaran Hizbut Tahrir bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam, sehubungan itu, orang Islam sama ada individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman serta ajaran tersebut.

Pada 4 Disember tahun sama, JAIS menyerbu pejabat Hizbut Tahrir Malaysia di Bandar Baru Bangi sewaktu wakil kumpulan tersebut sedang mengadakan sidang akhbar khas, bertujuan menjelaskan fitnah dan kekeliruan dalam fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor.-www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *