Home » Langit Terbuka » 42 anak yatim diraikan sempena Mahabbah MAIWP

42 anak yatim diraikan sempena Mahabbah MAIWP

Seramai 42 anak yatim diraikan pada program Mahabbah MAIWP sempena Kursus Effective Leadership and Interpersonal Skills di Bukit Merah Laketown Resort, Bagan Serai pada Isnin.

BAGAN SERAI – Seramai 42 anak yatim diraikan dalam program Mahabbah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sempena Kursus Effective Leadership and Interpersonal Skills di Bukit Merah Laketown Resort di sini pada Isnin.

Program yang mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Imam Bilal MAIWP (Perkib) merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan penghuni Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Tasawwur Islam, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Cahaya Ain serta Pusat Tarbiah Hafaz Quran Ibnu Sina.

Ahli Lembaga MAIWP, Zainal Abidin Shaik Zakaria berkata, CSR berkenaan merupakan sebahagian daripada modul kursus yang bertujuan meningkatkan keupayaan pegawai-pegawai.

“Dalam tempoh yang singkat mereka berjaya menganjurkan program ini dengan menjemput anak-anak sekitar Bagan Serai dan Taiping sekali gus memberi kebahagiaan kepada mereka yang memerlukan.

“Program hari ini juga merupakan sumbangan daripada pegawai sendiri dalam menzahirkan rasa kesyukuran dengan mengagihkan rezeki kepada golongan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Pada majlis itu, Zainal Abidin turut menyerahkan sumbangan berbentuk peralatan persekolahan dan sedikit wang saku menerusi program Back to School yang akan bermula minggu depan.

Menurut beliau, bantuan rumah perlindungan berjumlah RM20,000 disumbangkan kepada rumah anak yatim dan pusat tahfiz terlibat.

“Program ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk QSR Brands, McDonald’s, Yayasan Prihatin, Masjid Bukit Aman, Dana Kita, Humanity, Empayar Projek serta beberapa orang perseorangan yang sudi menyalurkan sumbangan.

“Dengan sumbangan ini, MAIWP berharap dapat menyuntik semangat serta keceriaan kepada anak-anak ini untuk memulakan alam persekolahan dengan cemerlang sekali gus mempertingkatkan prestasi akademik,” katanya.

Tambah Zainal Abidin, MAIWP akan meneruskan pelbagai aktiviti dalam menyantuni golongan asnaf dan B40 agar masyarakat dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.

“MAIWP akan membantu mereka untuk keluar dari kepompong kemiskinan menerusi latihan industri kepada anak-anak dan akhirnya menjadi pembayar zakat.

“Selain itu, MAIWP tidak ketinggalan membantu mangsa-mangsa yang terkesan banjir di negeri yang terlibat tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *