Home » Langit Terbuka » 5,000 Eksekutif Halal masih diperlukan menjelang 2019

5,000 Eksekutif Halal masih diperlukan menjelang 2019

NILAI, 10 Nov. – Negara memerlukan 5,000 Eksekutif Halal lagi menjelang 2019 bagi memenuhi permintaan tinggi daripada industri itu, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Beliau berkata, pada masa ini, terdapat kira-kira 10,000 Eksekutif Halal di seluruh negara.
“Industri halal memerlukan kumpulan profesional yang berpengetahuan luas dan berkeupayaan membuat keputusan bagi tujuan pensijilan halal serta penglibatan dalam sistem kawalan kualiti halal.
“Eksekutif Halal diperlukan bagi membantu syarikat memastikan inovasi baru dapat diwujudkan dalam bidang halal seperti teknologi penyembelihan, pembungkusan penyimpanan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang berita selepas merasmikan majlis Penutup dan Penganugerahan Sijil Program Latihan Profesional Halal 2016 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Mohamad Nordin berkata, kumpulan profesional itu berperanan memastikan produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan berkualiti serta memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim.
“Eksekutif Halal juga perlu berwaspada dan berhati-hati dalam menangani sebarang isu semasa yang timbul berkenaan pengurusan halal demi menjaga kemaslahatan ummah,” katanya.
Bagi menambah baik modul latihan di bawah Program Latihan Profesional Halal (PHTP), katanya Majlis Profesional Halal, yang dijangka beroperasi tahun depan, akan bertindak sebagai penyelia, penentu hala tuju serta memastikan kualiti latihan mencapai tahap terbaik.
Menurutnya, Majlis Profesional Halal akan berperanan dalam mengawal selia keseragaman modul yang dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Institut Pengajian Tinggi dan syarikat-syarikat multinasional. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *