Home » Langit Terbuka » 54,824 calon UPPK 2017 dapat 8A

54,824 calon UPPK 2017 dapat 8A

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

PUTRAJAYA 29 Jan. –  Seramai 54,824 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2017 di seluruh negara pada tahun lalu berjaya mencatat keputusan 8A, meningkat 18 peratus berbanding 46,461 calon pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata tiada dalam kalangan keseluruhan 204,684 calon yang menduduki peperiksaan itu mendapat semua D bagi semua mata pelajaran ditawarkan.

“Keputusan UPKK boleh disemak secara dalam talian menerusi semakan.islam.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas my SMS 15888 bermula jam 11 pagi hingga 5 petang pada 5 Februari ini, selain mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing mulai jam 2 petang ini.

“Mulai tahun ini, pengumuman keputusan UPKK akan dibuat dalam tahun semasa dan semakan maklumat calon yang berdaftar juga boleh dibuat ibu bapa atau penjaga secara dalam talian,” katanya pada majlis pengumuman keputusan UPKK 2017 di sini, hari ini.

Pelaksanaan peperiksaan UPKK diadakan kepada murid Tahun Lima kelas KAFA untuk menilai tahap kemahiran dan kebolehan pelajar dalam bidang bacaan, selain hafazan Al-Quran, tahap pengetahuan dan kefahaman pelajar dalam bidang Amali Solat serta Penghayatan Cara Hidup Islam.

Mereka juga dinilai tahap pengetahuan dan kefahaman dalam Ilmu Fardu Ain dan Pengetahuan Islam serta kemahiran membaca dan menulis Jawi.

Jamil Khir berkata, peperiksaan UPKK merangkumi ujian dalam lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, al-Quran, Ulum Syariah (Akidah/Ibadah), Sirah, Adab (Akhlak Islamiah), Jawi dan Khat serta Lughah Al-Quran.

“Tahap pencapaian calon pula dilaporkan dalam bentuk gred berdasarkan pertimbangan terhadap ketekalan (konsisten), ketepatan dan keadilan, yang ditafsirkan mengikut gred A (Cemerlang), B (Baik), C (Memuaskan) dan D (Lulus Tidak Mencapai Tahap Minimum).

“Tahun lalu, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti mata pelajaran al-Quran (99.7 peratus kelulusan), sekali gus menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

“Ini diikuti dengan Jawi Dan Khat (94.8 peratus kelulusan), Lughatul Quran (91.0 peratus kelulusan), Adab (Akhlak Islamiah) (93.0 peratus kelulusan), Ulum Syariah (Akidah & Ibadah) (85.7 peratus kelulusan) dan Sirah mencatatkan 87.0 peratus kelulusan),” katanya.

Tahun lalu, 208,189 calon mendaftar untuk menduduki UPKK iaitu 104,389 calon lelaki dan 103,800 perempuan serta 204,684 daripada mereka menduduki peperiksaan terbabit.

Bermula tahun lalu juga, pendaftaran calon UPKK kepada bukan warganegara dibuka tertakluk kepada syarat ditetapkan dan statistik calon bukan warganegara yang berdaftar pada 2017 seramai 206 orang. – BERITA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *