Menurut Persatuan Banduan Palestin dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena Hari Kanak-Kanak Palestin, daripada jumlah itu, 98 peratus kanak-kanak yang ditahan mengalami penderaan dari segi psikologi dan fizikal sepanjang dalam tahanan.

Tambah persatuan berkenaan, puluhan kanak-kanak ditahan selepas ditembak atau dicederakan oleh rejim Zionis.

Lapor al-Jazeera, kanak-kanak yang tinggal di Baitulmuqaddis Timur paling ramai dijadikan sasaran oleh rejim Zionis dan berpuluh daripadanya ditahan lebih daripada sekali dalam tempoh sebulan.

Kanak-kanak yang ditahan ketika serbuan pada waktu malam akan dipindahkan ke pusat tahanan dan disoal siasat, selain didera termasuk tidak diberikan makanan atau minuman selama beberapa jam.

Jelas persatuan tersebut, hak mereka berhubung kehadiran penjaga atau ibu bapa ketika di­soal siasat sering dinafikan.

Keadaan sebegitu menyebabkan kanak-kanak tersebut menderita mimpi buruk, insomnia, prestasi pembelajaran makin merosot dan memberi tindak balas agresif terhadap persekitaran serta masyarakat di sekeliling.

Malah, kanak-kanak berkenaan dipaksa untuk menandatangani kenyataan yang menggunakan bahasa Hebrew – bahasa yang tidak difahami mereka.

Dalam kenyata­an itu, persatuan terbabit menggesa agar organisasi hak asasi manusia, terutamanya agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan efektif terhadap ‘jenayah’ dilakukan oleh Israel.

Dalam perkembangan berlainan, rejim Zionis menyerang penduduk Palestin yang menyer­tai protes anti pencerobohan di sepanjang Tebing Gaza, mengakibatkan lebih daripada 80 orang cedera.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra berkata, kesemua mangsa me­ngalami pelbagai kecederaan ketika protes semalam.

Protes diadakan setiap minggu sejak 30 Mac tahun lalu bagi me­nuntut hak mereka untuk kembali semula ke tanah air yang dirampas Israel.

Lebih 260 penduduk Palestin terbunuh sepanjang protes dijalankan manakala 26,000 yang lain cedera. – Utusan Malaysia