Home » Langit Terbuka » 84 NGO tuntut India bertindak

84 NGO tuntut India bertindak

MOHD. AZMI ABDUL HAMID (tengah) bersama wakil NGO komuniti India Islam menyerahkan memorandum mengutuk kekejaman puak ekstremis susulan kes pembunuhan Asifa Bona di Kashmir di Kedutaan India, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA

Susulan kes pembunuhan kanak-kanak perempuan, Asifa Bona

KUALA LUMPUR 20 April – Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) bersama 84 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada komuniti masyarakat India Muslim seluruh negara menuntut supaya kerajaan India bertindak ke atas serangan komuniti Islam di Kashmir susulan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan, Asifa Bona pada Januari lalu.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihak­nya menghantar enam tuntutan dalam memorandum kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi supaya segera bertindak ke atas lapan suspek menculik, merogol serta membunuh kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu.

“Dalam perkara ini, kesemua NGO serta komuniti masyarakat India Muslim menuntut supaya kerajaan India tidak berkompromi dan perlu bertindak ke atas kes ini.

“Isu berkenaan telah mendapat perhatian masyarakat dunia akibat konspirasi yang dibuat beberapa pihak tertentu dalam kalangan komuniti Hindu yang fanatik menghalau kumpulan minoriti Islam dari daerah Kashmir.

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan dan kita mahu dunia saling menghormati antara agama, kaum serta tidak menafikan hak kumpulan minoriti Islam ini untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kira-kira 150 komuniti masyarakat India Muslim yang mewakili pelbagai NGO terbabit berhimpun di hadapan Kedutaan India, Kompleks Mont Kiara di sini hari ini.

Mereka berkumpul sambil membawa sepanduk mendesak kerajaan India mengambil tindakan terhadap kes pembunuhan Asifa Bona.

Kumpulan terbabit kemudian menye­rahkan memorandum bantahan tersebut kepada Setiausaha Pertama Pesuruhjaya Tinggi, S. Aravinda Babu.

Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) Dhajudeen Shahul Hameed dan disertai beberapa wakil NGO lain antaranya Inspirasi Muhibah India Muslim, Persatuan Perintis Malabari Malaysia, Skuad Mubaligh Malaysia, Muslim Active Members, Kongres India Muslim Malaysia dan Kelab Belia Muslim Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, pihaknya mendesak supaya kerajaan India menghentikan sebarang tindakan pihak tertentu yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai isu komunal dan agama yang sememangnya salah di sisi undang-undang kerana ia berkaitan kelakuan jenayah.

“NGO di Malaysia mengambil serius perkara ini dan menggesa kerajaan India untuk tidak berdiam diri apatah lagi ia melibatkan kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

“Kes ini bersifat jenayah menyebabkan sebahagian besar komuniti masyarakat India Muslim di sini tidak senang selagi individu terbabit tidak dihadapkan ke mahkamah akibat tindakan beberapa ahli politik yang dikatakan cuba melindungi penjenayah tersebut,” katanya.

Tegas beliau, kesemua individu yang melakukan jenayah berkenaan harus dibicarakan dan dihukum dengan hukuman se­timpal.

“Memorandum ini juga akan diserahkan kepada Wisma Putra dalam masa terdekat bagi menunjukkan Malaysia memandang serius kes sebegini.

“Kita juga berharap agar me­reka memahami sentimen ini bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia tetapi rakyat di India sekali gus memastikan hubu­ngan diplomatik tidak terjejas berikutan kes tersebut,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *