Home » Langit Terbuka » 99 penyata kewangan agensi Persekutuan diberi pendapat tanpa teguran – Ketua Audit Negara

99 penyata kewangan agensi Persekutuan diberi pendapat tanpa teguran – Ketua Audit Negara

Tiga jilid LKAN peringkat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik dalam laman web JAN selepas pembentangannya di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya di https://www.audit.gov.my. - Foto jabatan Audit Negara

KUALA LUMPUR – Setakat 30 Ogos lepas, Jabatan Audit Negara (JAN) telah menjalankan pengauditan penyata kewangan ke atas 113 agensi Persekutuan bagi tahun kewangan 2018, kata Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Daripada jumlah itu, 99 penyata kewangan diberi pendapat tanpa teguran, enam diberi pendapat tanpa teguran dengan perenggan ‘emphasis of matter’ (EOM) dan lapan diberi pendapat berteguran.

Sementara itu, 35 penyata kewangan masih belum dimuktamadkan manakala dua penyata kewangan agensi Persekutuan belum diterima.

“Pengauditan itu mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk penyediaan memorandum perancangan audit, penilaian risiko dan bukti audit, komunikasi dengan pihak pengurusan dan tadbir urus, pensampelan dan pelaporan,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Kenyataan akhbar itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 mengenai pengurusan syarikat, aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun Persekutuan dan kerajaan negeri 2018 yang dibentangkan di Parlimen hari ini (Isnin).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 12 pengauditan prestasi telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan 21 di peringkat negeri merangkumi pelbagai bidang, antaranya pengurusan program, aktiviti, pembinaan, naik taraf, penyenggaraan dan pengurusan hasil.

Bagi pengauditan pengurusan syarikat pula, tujuh syarikat kerajaan telah dilaksanakan pengauditan dan sembilan melibatkan pengauditan di peringkat negeri merangkumi aspek tadbir urus korporat, pengurusan aktiviti dan kedudukan kewangan syarikat.

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, JAN mengemukakan 57 syor terhadap aktiviti kementerian, jabatan dan badan berkanun Persekutuan, 43 syor terhadap pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan serta 132 syor terhadap pengurusan aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri untuk memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Tiga jilid LKAN peringkat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik dalam laman web JAN selepas pembentangannya di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya di https://www.audit.gov.my.

LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 13 negeri hanya akan dimuat naik dalam laman web JAN selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing-masing. – Bernama

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *