KUALA LUMPUR 22 Sept. – Usaha memberi penjelasan mengenai muamalah Islam perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana aspek berkenaan masih kurang difahami oleh umat Islam berbanding aspek-aspek lain dalam syariah Islam seperti ibadat dan akidah.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha berkenaan juga amat kurang dilakukan dan keadaan ini boleh dilihat dalam pengajian-pengajian di masjid dan surau yang terlalu memfokuskan kepada soal akidah dan ibadah.
“Aspek muamalah Islam ini sebenarnya amat penting untuk difahami kerana ia terkait dengan soal bagaimana seseorang Muslim itu menjalani kehidupan sehari-harinya dan ini termasuklah dari segi pengurusan kewangan, hutang, takaful dan sebagainya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Muamalah Ummah 2016 di sini hari ini yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dalam program ini, YADIM akan menjelajah politeknik di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dan akan singgah di beberapa politeknik terpilih untuk melaksanakan pelbagai program terutamanya berkaitan penerangan mengenai muamalah Islam.
Jelajah ini yang membawa tema `Muamalah Dijaga, Ummah Terpelihara’, turut mendapat kerjasama daripada Bank Islam, Yayasan Taqwa, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Takaful Ikhlas, 1M4U, Bank Rakyat, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bank Islam Malaysia Berhad dan Pusrawi.
Dr. Asyraf Wajdi berkata, peri petingnya pengurusan kewangan secara Islam itu boleh memberi kesan yang besar kepada kehidupan seseorang itu dan boleh mengatasi masalah gejala sosial.
Ini kerana , katanya, kajian-kajian yang dilakukan menunjukkan faktor kegagalan menguruskan kewangan dengan baik adalah antara punca menyebabkan masalah rumah tangga dan seterusnya gejala sosial di negara ini.
Justeru, katanya, penganjuran Jelajah Muamalah Ummah ini adalah suatu usaha yang sangat baik dalam menyemarakkan lagi minat terhadap bukan sahaja pelajar politeknik terhadap muamalah Islam tetapi juga seluruh masyarakat terhadap muamalah Islam.
“Adalah diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat kerjasama juga daripada pelbagai pihak terutama syarikat korporat untuk sama-sama menyumbang dalam usaha ini katanya.
KOMEN