Home » Langit Terbuka » Kes tipu umrah libatkan kerugian lebih RM10 juta sejak 2012

Kes tipu umrah libatkan kerugian lebih RM10 juta sejak 2012

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Sebanyak 266 kes penipuan pakej umrah dan haji dilaporkan dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM10 juta sejak 2012 hingga Februari tahun ini, kata Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Timbalan Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, daripada jumlah tersebut, 95 kes melibatkan agensi pelancongan dan nilai kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM508,500 di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“Tindakan berurus niaga dengan syarikat atau individu tidak berlesen yang menjadi ejen jualan tiket terutamanya secara dalam talian merupakan tindakan yang sangat berisiko dan mendedahkan orang ramai kepada penipuan.

“Semua agensi pelancongan berlesen mestilah mengambil usaha secukupnya dalam memastikan status rakan niaga mereka sama ada berlesen atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian itu giat melakukan pemantauan dan siasatan secara bersepadu bersama kementerian dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia serta badan bukan kerajaan yang terlibat.

Mas Ermieyati berkata, harga indikator minimum pakej umrah standard ekonomi 12 malam 10 hari dikekalkan pada kadar RM4,900 dengan persetujuan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

“Pakej umrah yang ditawarkan hendaklah meliputi tiket penerbangan pergi dan balik, visa umrah, penginapan, pengangkutan, makan minum, perkhidmatan mutawwif (wakil dari agensi pelancongan) dan perlindungan takaful,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengendali pelancongan berlesen hendaklah memastikan bahawa setiap jemaah dilindungi di bawah Skim Takaful Umrah  sekiranya jemaah ditimpa musibah ketika mengerjakan umrah. – Bernama

Artikel Berkaitan

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *