Home » Langit Terbuka » Rakyat Palestin raikan resolusi PBB

Rakyat Palestin raikan resolusi PBB

RAMALLAH 22 Dis -Rakyat Palestin pada Khamis mengalu-alukan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Nabil Abu Rdineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan menyebut resolusi itu menzahirkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap hak-hak rakyat Palestin.

“Ancaman Trump kepada anggota PBB tidak menghalang mereka daripada mengundi untuk menyokong resolusi itu,” kata Abu Rdineh.

Trump telah mengancam untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menyokong resolusi itu.

Resolusi itu mengulangi fakta bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah wajar dan telah mendapat sokongan luar biasa masyarakat antarabangsa, katanya.

“Deklarasi Trump tidak akan pernah mengubah hakikat bahawa Baitulmaqdis adalah sebuah wilayah yang diduduki dan oleh itu, undang-undang antarabangsa adalah terpakai di kawasan tersebut,” katanya.

Terdahulu pada Khamis, satu resolusi yang menggesa Washington menggugurkan pengiktirafannya berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel telah diluluskan dalam sidang tergempar khas Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 berkecuali.

Resolusi itu menegaskan pendirian tetap PBB berhubung kedudukan kota suci itu sejak 1967.

Pendirian itu menyatakan bahawa status muktamad Baitulmaqdis hendaklah diputuskan menerusi rundingan terus antara Israel dan Palestin.

Sementara itu, Pergerakan Islam Hamas dalam satu kenyataan menyebut, undian itu berada “di landasan yang betul dan merupakan satu kemenangan untuk rakyat Palestin”. – Bernama

Artikel Berkaitan

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *