Home » Langit Terbuka » 17 ajaran sesat baharu muncul tahun lalu

17 ajaran sesat baharu muncul tahun lalu

PUTRAJAYA 9 Jan. – Sebanyak 17 ajaran sesat terbaharu dikenal pasti oleh kerajaan muncul sepanjang tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut menjadikan 39 keseluruhan ajaran sesat dan menyeleweng yang dikesan di negara ini.

“19 daripadanya masih bergiat aktif dan Jabatan Agama Islam sedang melakukan penyiasatan,” katanya pada penutup Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam (MPI) di Hotel Marriot Putrajaya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil komited dan konsisten daripada Jabatan Islam dan agensi berkaitan, seramai 246 tangkapan berjaya dibuat.

“Ini adalah gambaran kesungguhan kerajaan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan usaha memartabatkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam amalan Islam di Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama bersatu menyelesaikan isu tersebut.

“Hentikanlah perbezaan di kalangan kita. Mari sama- sama kita usahakan,” katanya.

Zahid berkata, Perlembagaan Persekutuan menyebut Islam agama persekutuan.

“Biar apapun berlaku selepas hari besar (pilihan raya), kita berhasrat untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan meskipun memerlukan majoriti dua pertiga.

“Islam agama persekutuan berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dasuki.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri 600 ahli MPI.

Zahid yang juga Pengerusi MPI mengumumkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai Ketua Kluster Ekonomi menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhamad Ali Hashim.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *