FAHAMAN Syiah telah ditafsirkan oleh ahli sunnah wal-jamaah sebagai fahaman yang merbahaya dan tidak berdiri atas landas agama Islam yang sebenar seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad dan empat mazhab muktabar.
Fahaman Syiah di dunia hari ini mempunyai tiga kecenderungan yang besar. Mereka terpecah kepada banyak kelompok tetapi majoritinya adalah tiga kelompok besar iaitu Syiah Mufaddholah, Syiah Rafidhah dan Syiah Bathiniyah.
Syiah Mufaddholah
Kelompok pertama dipanggil Syiah Mufaddholah (gemar kepada puji-pujian yang kelebihan), iaitu yang cenderung memuliakan ahlul bait (kaum keluarga Nabi).
Mereka akan banyak bercakap tentang kemuliaan ahli keluarga Nabi seperti Ali, Fathimah, Hasan, Husain, dan lain-lain tetapi mereka tidak mengkafirkan sahabat Nabi.
Mereka mengiktiraf Saidina Abu Bakar, Umar, Utsman sebagai khalifah, tetapi bagi mereka Saidina Ali tetap lebih mulia dengan tema atau slogan mereka, jawaazu-imaamatil-faadhil-ma’a-wujuudil-afdhal (harus menjadi imam orang yang baik dengan kebersamaan wujudnya orang yang lebih baik).
Kelompok ini juga terkenal dengan nama Syiah Zaidiyyah dan kebanyakan mereka berada di Yaman.
Syiah Rafidhah
Kecenderungan kedua merupakan kelompok syiah majoriti di dunia ini iaitu Syiah Rafidhah. Rafidhah berasal daripada perkataan Ar-Rafdhu (tolak).
Mereka digelar sebagai Rafdhu atau Rafidhah kerana mereka TIDAK MENGIKTIRAF bahkan MENGKAFIRKAN dan MELAKNAT sahabat dan isteri Nabi SAW seperti Abu Bakar, Umar, Utsman, Abu Hurairah, Muawiyah ibn Abi Sufyan, Aisyah, keturunan Muawiyah dan keturunan Umar keseluruhannya.
Bagi mereka, apa sahaja yang datang daripada kesemua sahabat yang mereka laknati tidak boleh diterima dan harus ditolak.
Pada hari ini, mereka datang dengan pelbagai nama antaranya, Imamiyah Itsna Asyariyah (Imam 12) dan Ja’fariyah.
Fahaman ini berbahaya kerana akidah mereka berbeza dengan akidah Ahlus sunnah dan tidak boleh dianggap remeh kerana mereka mempunyai agenda tertentu.
Mereka mengkafirkan sahabat Nabi bertujuan untuk meragukan sumber agama kita iaitu al-Quran dan Sunnah.
Idea mengumpul al-Quran datangnya dari Umar, dan Abu Bakar mengarah Umar mencari penulis wahyu lalu Umar memilih Zaid ibn Tsabit dan mereka menulis al-Quran. Apabila syiah mengkafirkan sahabat maka al-Quran yang ada pada hari ini dianggap tidak boleh dipakai.
Selain itu, teknik atau cara untuk memudahkan mereka mengembangkan fahaman ini adalah dengan mengamalkan akidah taqiyyah (iaitu: berbohong, berpura-pura).
Menurut Imam mereka, tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah. Mereka dituntut untuk menzahirkan sesuatu yang bersesuaian dengan masyarakat setempat dan menyembunyikan kepercayaan mereka.
Bagi golongan ini, kekuatan agama mereka adalah terdiri teguh di atas prinsip bertaqiyyah yakni para pengikutnya akan mengiktiraf atau bersetuju dengan sesuatu yang bersesuaian (yang ada kepeningan bagi kedua-dua pihak) bagi sesebuah masyarakat di satu-satu tempat dan dalam masa sama iktikad dan kepercayaan songsang mereka itu disembunyikan.
Contoh terdekat yang boleh kita ambil iktibar adalah cara golongan ini meraikan sambutan hari Asyura di mana setiap kali sambutan hari berkenaan dibuat, puak-puak ini akan melaknati Abu Bakar, Umar, dan para sahabat Nabi yang lain.
Tuntutan Nabi Muhammad ke atas kita pada hari asyura adalah dengan berpuasa, sedangkan mereka pada hari itu mencederakan diri dan mendoakan laknat ke atas sahabat Nabi kerana bagi mereka hari tersebut adalah hari kematian Husain.
Jika di lihat di dalam masjid mereka, terdapat di situ batu-batu karbala iaitu tanah yang dimampatkan menjadi batu dan mereka sujud di atas tanah itu ketika solat kerana menganggap suci tanah tersebut.
Kepercayaan mereka terhadap Imam Mahdi juga berbeza. Imam Mahdi menurut mereka adalah Imam mereka yang terakhir dan menunggu di dalam Gua Sardab.
Manakala Imam Mahdi kita yang Nabi Muhammad beritakan ada ciri-cirinya berdasarkan hadis-hadis sahih, tetapi mereka menolak kesemua hadis-hadis tersebut kerana diriwayatkan oleh para sahabat.
Syiah Bathiniyyah
Bathiniyyah diambil dari kata Bathin yang maknanya adalah samar-samar. Syiah yang ketiga adalah yang paling pelik. Mereka menganggap ibadah seperti solat, haji, dan lain-lain hanya simbolik semata-mata.
Bahkan pelampau mereka beriktikad malaikat Jibril tersalah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad dan bagi mereka, wahyu sepatutnya disampaikan kepada Ali bin Abi Thalib.
Akidah begini merupakan akidah yang membatalkan keislaman seseorang. Mereka datang dengan banyak nama, antaranya syiah Nushairiyah, syiah Duruz, dan syiah Isma’iliyah.
Kumpulan ini adalah minoriti dan bergerak aktif di sebelah Syria, sempadan Jordan. Mereka juga terdapat di Lubnan.
Mereka turut menyembah gambar imam mereka kerana telah mengangkat imam mereka setaraf Tuhan.
Di Malaysia, semua fahaman syiah telah difatwakan sesat oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Mei 1996 dan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Penyebaran apa-apa ajaran selain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Penerbitan, penyiaran dan penyebaran sebarang buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.
Justeru, umat Islam di Malaysia perlu memahami tentang bahayanya fahaman syiah ini lebih-lebih lagi fahaman syiah Rafidhah. Segala usaha untuk menghidupkan dan menyebarkan amalan ini di Malaysia perlu dikekang habis-habisan bagi menjaga akidah kita semua. – MYEHWAL
KOMEN