Home » Persuasif » Pecutan Akhir Ramadan

Pecutan Akhir Ramadan

Pejam Celik, pejam celik tidak sangka kita sudah berada di fasa ke tiga Ramadan. Fasa ini sangat mencabar, disana terdapat satu malam yang sungguh bermakna iaitu malam Al-Qadr. Firman Allah dalam Al-quran “Malam kemuliaan (Al-Qadr)itu lebih baik dari seribu bulan”.(Al-Qadr ayat 3).

Jika kita melakukan pengiraan matematik, bahagikan 1000 bulan kepada 12 bersamaan 83 Tahun. Begitulah keistimewaan orang yang menghidupkan malam Al-Qadr. Ibadah yang dilakukan pada malam tersebut seperti dilakukan selama 83 tahun. Sangat beruntunglah insan yang bertemu dan menghidupkan malam tersebut.

Kebiasaannya dalam perlumbaan seperti lumba lari atau berbasikal pada fasa akhir ini lah kita akan menggunakan segala tenaga untuk melakukan pecutan dan henjutan akhir.Belum pernah ada seorang perlari yang memecut laju diperingkat awal tetapi pada penghujung perlumbaan memperlahankan langkahnya. Sebaliknya semakin hampir ke garisan penamat semakin yakin kaki mengatur langkah. Hal ini kerana, perkara tersebut akan menentukan memang atau kalah seseorang.

Begitu juga lah Ramadan, pemulaan yang kita lakukan seperti pengimarahan masjid, tahajjud, membaca Al-quran, sedekah mahupun zikir perlu diteruskan hingga akhirnya. Amat rugi lah jika surau dan masjid hanya penuh pada awal Ramadan dan sepi pada penghujungnya. Momentum yang baik itu kalau kita hentikan akan menyebabkan tarbiah Ramadan kita terbantut ditengah jalan. Madrasah ramadan yang kita bina perlu dilengkapkan seperti membina sebuah rumah. Kita tidak akan berhenti membina sehinggalah rumah itu siap sepenuhnya. Madrasah ramadan juga sama sifatnya. Madrasah yang kita bina pada 6 Mei lalu tidak akan siap sepenuhnya sehinggalah 5 Jun akan datang.

Namun tidak dapat dinafikan fasa akhir Ramadan ini membawa seribu satu cabaran. Ketika inilah ibu bapa sibuk mencari pakaiaan raya anak-anak, pada fasa inilah kaum ibu sibuk membuat kuih raya dan pada fasa inilah kerja-kerja persiapan rumah menyambut Syawal dilakukan. Halangan dan cabaran ini perlu diatasi dan diurus dengan hikmah. Walau sesibuk mana kita sekalipun melakukan persiapan kita perlu menghidupkan fasa akhir Ramadan ini. Jangan disebabkan kita sibuk akan persiapan dunia sehingga lupa akan persiapan mengadap Ilahi.

Antara perkara yang boleh penulis cadangkan ialah lakukanlah persiapan Syawal di waktu siang supaya waktu malam boleh difokuskan untuk beribadah. Bagi yang bekerja dan terpaksa melakukan aktiviti tersebut pada waktu malam perlulah membahagikan masa dengan baik. Sebagai contoh, setelah selesai melakukan persiapan pada waktu malam kita boleh melakukan ibadah seperti solat Sunat Tarawih dirumah bersama keluarga. Walaupun kita tidak berkesempatan ke surau atau masjid namun ibadah masih boleh kita lakukan dirumah. Hal ini bertepatan dengan kaedah “kalau tidak boleh buat semua jangan tinggal semua”. Kalau tidak boleh solat tarawih di masjid jangan sampai tidak solat langsung kerana perkara itu masih boleh dilakukan di rumah.

Seterusnya perbanyakkan ibadah-ibadah sunat seperti tahajjud, membaca Al-quran, zikir dan sedekah.

Dalam satu hadith nabi SAW menceritakan ganjaran kita melakukan kebaikan. “Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku, dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat, dan makannya kerana Aku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan: 1- Kegembiraan ketika berbuka puasa dan 2- Kegembiraan ketika bertemu tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi”. [Sahih Muslim].

Perkara ini hanya ada pada umat nabi Muhammad SAW sahaja, maka janganlah kita melepaskan peluang yang terhidang ini. Banyangkan segala amalan ini jika kita lakukan dan bertemu dengan malam Al-Qadr sudah pasti ganjaran yang besar disisi Allah untuk diri kita.

Mencari Al-Qadr bukan lah hanya melihat kepada tandanya seperti pokok sujud mahupun air menjadi beku. Semua itu tidak ada sandarannya dalam Islam dan kita tidak diperintahkan untuk mencari tanda-tanda seperti itu. Mencari Al-qadr yang sebenar ialah menghidupkan malam-malam 10 terakhir ini dengan amalan kebaikan terutamanya qiam. Perkara ini lah yang dituntut dalam agama Islam yang sebenar.

Kesimpulannya, kita perlu tabah dan terus bersemangat dalam fasa akhir ini. Sokongan dan dorongan daripada keluarga dan sahabat amat diperlukan untuk meneruskan perjuangan ini. Semoga fasa akhir Ramadan ini akan membuatkan kita terus istiqamah dengan amalan kebaikan. Berapa ramai dalam kalangan kita yang bersungguh-sungguh di awal namun kecundang di fasa akhir ini. Selagi kita belum sampai ke garisan penamat jangan pernah kita berhenti untuk menyerah kalah. Bersama kita berdoa kepada Allah agar kita ditetapkan iman untuk terus beribadah dan bertemu dengan Al-Qadr

Mohamad Zaiful Faizal bin Mohamad Hasan
Pelatih Dai’e Muda Yadim

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *