Home » Langit Terbuka » Isu hotel : Penjelasan Tabung Haji

Isu hotel : Penjelasan Tabung Haji

Hotel-hotel milik Tabung Haji tersebut akan dijenamakan semula dengan nama Raia Hotel mulai 1 April 2020 ini, selepas diambil alih oleh pengurusan baharu. - Foto THHR

KUALA LUMPUR – Operasi empat Hotel Tabung Haji akan diteruskan di bawah pengurusan baharu iaitu UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan Tabung Haji untuk mengurangkan komitmen kerajaan.

“Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR (TH Hotel and Residence Sdn Bhd) adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan.

“UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ,” katanya dalam kenyataan.
UJPM merupakan anak syarikat UJ.

Empat hotel terlibat adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu yang sebelum ini diuruskan oleh THHR.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan laporan yang menyatakan THHR akan menutup empat hotel berkuatkuasa 1 April ini.

Menurut kenyataan itu, di bawah pengurusan baharu itu, hotel-hotel tersebut akan dijenamakan semula dengan nama Raia Hotel mulai 1 April 2020 ini.

“Kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu (1) syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan.

“UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 bilion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini,”tambahnya.

Sementara itu, TH berkata, semua pekerja dijamin tidak akan diberhentikan, sebaliknya 90 peratus dikekalkan bekerja di Raia Hotel manakala baki 10 peratus akan diserap ke dalam THHR Kelana Jaya dan mereka akan menerima sagu hati. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *