Home » Langit Terbuka » JAWI, MAIWP disyor hantar mualaf berkelayakan belajar ke universiti Timur Tengah

JAWI, MAIWP disyor hantar mualaf berkelayakan belajar ke universiti Timur Tengah

Golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik, jika komited mempelajari Islam. - Foto Hidayah Center

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), disyorkan supaya turut menghantar peserta Kelas Pengajian Mualaf yang berkelayakan, ke universiti-universiti Islam di Timur Tengah terutama Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebagai contoh, jika peserta ini layak dan cukup syarat, beliau sendiri akan mencalonkan nama peserta berkenaan.

“Jika layak dan cukup syarat, saya sendiri tidak teragak-agak untuk mencalonkan nama mereka, untuk dihantar ke Universiti (Islam) Madinah,” katanya merasmikan Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Sesi 2019/2020 di Dewan Seminar Saidina Abu Bakar, Kompleks Darul Hidayah paada 16 Julai.

Beliau berkata, golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik, jika komited mempelajari Islam.

Seramai 61 pelajar mualaf cemerlang Tahap Lanjutan daripada keseluruhan 200 orang yang berjaya menamatkan pengajian bertaraf sijil bagi sesi kali ini, dirai dalam majlis tahunan anjuran JAWI dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada sidang media, Zulkifli yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah berkata, walaupun hanya memiliki sijil, pelajar mualaf kalangan awam ini boleh diserapkan ke institusi-institusi pendidikan di bawah JAWI dan MAIWP, sebelum dihantar ke Timur Tengah untuk mendalami Islam.

“Kita sudah ada Pondok Modern al-Abaqirah MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dan beberapa sekolah lain yang hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya memiliki SPM dan tahu asas bahasa Arab,” jelasnya lagi. – Astro Awani

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *