Home » Citra Yadim » Taklimat Penubuhan SAY Kuantan

Taklimat Penubuhan SAY Kuantan

KUANTAN – Sesi Taklimat Penubuhan Sukarelawan YADIM Kuantan oleh YADIM Negeri Pahang telah diadakan di Pantai Sepat, Kuantan pada 18 April bersempena majlis pengajian bulanan masyarakat Melayu Aceh bersama pendakwah bebas, Waled Al-Aiyubi.

Program ini menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran sekitar 50 orang peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan kesukarelawanan yang tinggi.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd Yusof yang menghuraikan secara komprehensif peranan dan fungsi Sukarelawan YADIM sebagai ejen perubahan sosial yang menyantuni masyarakat melalui pendekatan dakwah yang berhikmah dan aktiviti kebajikan yang menyeluruh.

Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, penubuhan sukarelawan ini turut menekankan nilai-nilai teras seperti Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan Dan Ihsan dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan.

Beliau juga menyampaikan tazkirah yang menyentuh tentang kelebihan bulan-bulan haram serta galakan untuk memperbanyakkan amalan berpuasa sebagai satu bentuk penyucian jiwa dan peningkatan ketakwaan. Pengisian rohani ini bukan sahaja menyuburkan keimanan, malah memperkukuh jati diri sukarelawan agar sentiasa berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab.

Seusai program, suasana ukhuwwah semakin terserlah apabila masyarakat setempat mengambil peluang memohon Ustaz Aizuddin Hakim untuk menyempurnakan ibadah penyembelihan dua ekor kambing aqiqah bagi seorang bayi yang diberi nama Muhammad Adyan Zaheen Zulfiqri. Majlis tersebut berlangsung dengan lancar dalam suasana penuh kesyukuran dan keberkatan, mencerminkan nilai ihsan dan kebersamaan yang menjadi teras dalam kehidupan bermasyarakat.

Diharapkan juga agar Muhammad Adyan Zaheen Zulfiqri membesar sebagai anak yang soleh, menjadi penyejuk hati ibu bapanya serta penyumbang kepada kesejahteraan ummah pada masa hadapan.

Semoga usaha murni ini terus menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan memperkukuh peranan SAY sebagai pemangkin kepada pembinaan masyarakat MADANI yang berteraskan nilai keimanan, keilmuan dan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *