Home » Langit Terbuka » JAINJ nafi peserta kursus praperkahwinan wajib lulus peperiksaan

JAINJ nafi peserta kursus praperkahwinan wajib lulus peperiksaan

Foto: https://www.magnific.com/

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) menafikan dakwaan bahawa peserta Kursus Praperkahwinan Islam di negeri ini diwajibkan lulus peperiksaan bagi mendapatkan sijil kursus itu, mulai tahun depan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin, berkata JAINJ menerusi Bahagian Undang-Undang Syariah hanya merancang untuk melaksanakan penilaian berbentuk soalan objektif bagi mengukur tahap kefahaman peserta.

Beliau berkata, semua peserta tetap akan menerima sijil kursus berkenaan tanpa mengira markah yang diperoleh dalam penilaian itu.

“Semua peserta akan menerima sijil, termasuk yang mendapat penilaian rendah… semuanya lulus, kita pun tidak berniat hendak memalukan peserta yang lemah, malah tujuan ialah kita hendak membantu mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata, penilaian itu bertujuan membantu peserta mengenal pasti tahap kefahaman masing-masing terhadap ilmu yang diperoleh sepanjang kursus, sebagai persediaan untuk mendirikan rumah tangga.

“Matlamat utama kita ialah membantu peserta supaya mereka mempunyai ilmu nikah kahwin dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Kami hendak membantu agar semua pasangan pengantin baharu kekal ke jannah,” katanya.

Mohd Radzi berkata, JAINJ akan memberi taklimat mengenai pelaksanaan penilaian itu kepada 16 syarikat yang diberi permit untuk menganjurkan kursus berkenaan di Johor pada tahun depan.

Penyertaan dalam kursus itu adalah antara syarat bagi pasangan Islam untuk memohon kebenaran berkahwin.

Antara topik dibincangkan ialah prosedur perkahwinan, tanggungjawab dan komunikasi suami isteri, pengurusan kewangan, kesihatan, pengurusan stres dan konflik, serta pembubaran perkahwinan, selain prosedur akad nikah dan walimatulurus.

Sebelum ini, tular hantaran dalam media sosial mendakwa Johor akan mewajibkan peserta kursus itu menduduki peperiksaan dan hanya peserta yang lulus akan diberikan sijil.–BERNAMA

Artikel Berkaitan

Tunku Azizah terima ijazah sarjana dari UIAM

  KUALA LUMPUR: Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42 mencipta sejarah selepas Ketua Perlembagaannya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *