PUTRAJAYA – Kelangsungan karya Islam di Nusantara dengan kerjasama erat antara penulis, penerbit dan penggiat industri perbukuan sangat perlu bagi memastikan khazanah ilmu Islam terus berkembang serta relevan dengan perubahan zaman.
Perkara itu menjadi antara tumpuan dalam Konvensyen Penulis Islam Nusantara 2026 yang berlangsung selama dua hari di Putrajaya, yang menghimpunkan penulis, ilmuwan, penerbit dan penggiat industri kreatif dari Malaysia serta negara-negara Nusantara.
Konvensyen anjuran YADIM bertemakan “Melestari Karya Islam Nusantara” itu menjadi platform pertemuan untuk bertukar pandangan mengenai masa depan penulisan Islam, cabaran teknologi kecerdasan buatan serta usaha memastikan karya berkualiti terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Selepas dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan pada 14 Oktober, hari kedua antaranya menyaksikan perbincangan menerusi forum “Masa Hadapan Karya Islam di Nusantara”, yang membawa perhatian kepada hala tuju penerbitan Islam dalam menghadapi perubahan selera pembaca dan landskap industri buku yang semakin dinamik.
Forum berkenaan menampilkan wakil industri dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, sekali gus membuka ruang perkongsian pengalaman mengenai perkembangan penerbitan, pendekatan mendekati pembaca serta potensi kerjasama merentas negara.
Pengisian diteruskan dengan sesi audio siar bertajuk “Evolusi Dunia Penerbitan” yang membincangkan perkembangan industri perbukuan dan perubahan pendekatan dalam menghasilkan serta menyebarkan karya kepada masyarakat.
Sesi “Membina Legasi Melalui Karya” pula mengetengahkan kepentingan membina warisan penulisan yang mampu bertahan merentas generasi, termasuk melalui kerjasama penulis dan penerbit dari rantau Nusantara.
Penganjuran ini memperlihatkan bahawa dunia penulisan Islam bukan sahaja berhadapan cabaran untuk menghasilkan karya bermutu, malah perlu memastikan nilai ilmu, etika dan tanggungjawab penulis terus menjadi asas dalam penghasilan kandungan.
Konvensyen ini juga membawa kepentingan tersendiri dalam usaha melestarikan tulisan Jawi sebagai warisan keilmuan dan tamadun Islam di Nusantara, di samping membuka peluang kepada kerjasama antara penulis, penerbit serta institusi bahasa dan budaya.
Majlis penutupan konvensyen disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustazah Dr. Fatimah Syarha Mohd Noordin selepas ucapan aluan oleh Pengarah Kanan Sektor Media dan Penerbitan Dakwah, Puan Zalilah Bahari.
Resolusi KPIN pula dibacakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Persatuan TintaKarya Malaysia Datuk Dr Chamil Wariya.
Hadir sama ke majlis perasmian penutup ialah Pengarah Kanan Sektor Pengurusan YADIM, Encik Megat Mohd Azlan Md Arshad, Pengarah Bahagian Penerbitan Kreatif, Puan Siti Suhafzan SH Ibrahim, wakil-wakil agensi,wakil penaja serta rakan strategik.
Penganjuran konvensyen ini turut bersempena Program Dakwah Negara 2026, yang membawa tema “Membangun Adab, Membina Negara”.



KOMEN