KUALA KRAU – Usaha menyemai nilai adab, menyatukan ummah dan mendekatkan dakwah dengan masyarakat menjadi antara fokus Program Dakwah Negara (PDN) 2026 Negeri Pahang yang diluncurkan di Masjid Jengka 23, Kuala Krau, pada 16 Oktober.
Ia diluncurkan dalam Majlis Multaqa Ulama dan Asatizah Negeri Pahang anjuran YADIM Negeri Pahang dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang yang turut menyaksikan penyampaian watikah pelantikan kepada 29 orang Zamalah YADIM yang akan berperanan sebagai duta dakwah di lapangan, khususnya di negeri tersebut.
Peluncuran PDN Peringkat Negeri Pahang 2026 ini disempurnakan oleh EXCO Hal Ehwal Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, yang turut merasmikan majlis berkenaan.
Terdahulu dalam aluannya Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang atas kerjasama erat dalam menjayakan agenda dakwah di negeri ini.
Menurutnya, PDN 2026 yang membawa tema “Membangun Adab Membina Negara” bertujuan menyemai nilai adab, kasih sayang dan keharmonian dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.
Sementara itu, Dato’ Sri Syed Ibrahim telah menzahirkan penghargaan kepada YADIM kerana memilih Jengka sebagai lokasi peluncuran program berkenaan. Beliau turut menyifatkan majlis selawat dan himpunan ulama sebagai wadah penting dalam menyatukan ummah.
Sebelum majlis peluncuran, program dimulakan dengan Multaqa Ulama dan Asatizah serta alunan selawat sempena Maulid Nabi Muhammad SAW oleh Kumpulan Qasidah Nurul Huda Al-Hadi.
Sesi tausiyah disampaikan oleh Pengetua Madrasah Darul Uloom Al-Islamiah Jerantut, Al-Fadhil Tuan Guru (Dr.) Maulana Juhari Muhammad Ali Al-Jenderaqi, yang mengingatkan bahawa kekuatan umat Islam terletak pada kasih sayang dan perpaduan.
Beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan dan pendapat merupakan perkara biasa, namun umat Islam perlu terus bersatu dan memelihara kasih sayang sesama sendiri.
Keprihatinan terhadap masyarakat setempat turut dizahirkan menerusi penyampaian sumbangan kasih kepada 70 penerima dalam kalangan asnaf dan penduduk Felda Jengka.
Sumbangan daripada rakan badan bukan kerajaan KEMUDI itu merangkumi wang tunai, barangan keperluan harian serta kelengkapan seperti toto, kain pelikat dan kain batik.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan, Yang Berhormat Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri Jengka merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Dato’ Sri Dr. Ismail Mohamed Said.
Tidak ketinggalan ialah Pegawai Khas kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang (Bahagian Hal Ehwal Agama Islam), Haji Yunan Abdul Samad; Pengarah Felda Wilayah Jengka, Encik Hasrul Nizam Hassan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Dinamis, Haji Zainal Abidin Jaffar serta barisan ulama, asatizah, kepimpinan agensi dan jabatan negeri serta masyarakat Felda Jengka.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan YADIM bersama rakan strategik dalam menyampaikan mesej dakwah yang menekankan nilai adab, perpaduan dan kepedulian terhadap masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan semangat MADANI Membantu.



KOMEN