PERMATANG PAUH – Bersempena Program Dakwah Negara, Pertubuhan Nahdlatul Ulama’ Malaysia (Na’am) dengan kerjasama Maahad Ihya Ulumiddin, Pulau Pinang dan YADIM Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Majlis Haul Syaikh Wan Ismail Al-Fathani Al-Makki (Pak Da El) pada 15 November 2026.
Majlis yang turut menyaksikan Pemasyhuran Jawatankuasa Nahdlatul Ulama’ Malaysia bagi sesi 2026–2029 itu menghimpunkan para ulama, guru agama dan masyarakat bagi memperingati ketokohan serta sumbangan Pak Da El dalam bidang keilmuan Islam, di samping menghayati warisan keilmuan ulama turath.
Majlis dimulakan dengan ucaptama oleh Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki Othman, sebelum diteruskan dengan bacaan manaqib Syaikh Wan Ismail Wan Abdul Qadir Al-Fathani (Pak Da El) oleh Ustaz Helmi Al-Syafie.
Seterusnya, dua pembentangan ilmiah diadakan, iaitu Amalan dan Penyebaran Tarekah Syathariyyah Pak Da El oleh Tuan Guru Baba Ahmad Ridouddin Abdul Wahab, serta Manhaj dan Pemikiran Pak Da El dalam Kitab Bakuroh oleh Ustaz Ahmad Faiz Hafizudin Rosli (PU Faiz).
Pengisian majlis turut merangkumi bacaan Matan Bakurah berserta pengijazahan oleh para Tuan Guru, Tahlil Perdana, tausiyah serta sesi soal jawab bersama hadirin.
Kemuncak program menyaksikan upacara pemasyhuran Jawatankuasa Nahdlatul Ulama’ Malaysia bagi sesi 2026–2029. Majlis kemudian diakhiri dengan solat Zuhur berjemaah dan jamuan sebelum bersurai pada jam 2.30 petang.
Penglibatan YADIM Negeri Pulau Pinang dalam penganjuran ini mencerminkan komitmen badan dakwah itu dalam menjalin kerjasama dengan institusi pondok, para ulama turath dan pertubuhan Islam, khususnya bagi memelihara tradisi keilmuan serta menyemarakkan gerakan dakwah dalam masyarakat.



KOMEN