KUALA TERENGGANU, 26 November – 11 institusi pendidikan Islam dan tahfiz di Terengganu menerima peruntukan khas berjumlah RM1.497 juta.
Bantuan RM200 bagi setiap murid disalurkan Januari depan, tertakluk kepada kehadiran; pendidikan pula memerlukan kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu memaklumkan peruntukan melibatkan institusi di enam kawasan Parlimen bagi melaksanakan kerja pembaikan infrastruktur serta meningkatkan kualiti kemudahan, sekali gus menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa, kondusif dan selamat.
“Peruntukan itu merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan pendidikan Islam, selain memastikan kumpulan sasar tidak ketinggalan dalam penguasaan ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI),”kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Peperiksaan Awam serta Anugerah Sarjana Terengganu di Taman Tamadun Islam.
Institusi terlibat masing-masing Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Besut, Madrasatul Quran Kubang Bujuk di Serada, Kuala Terengganu, Institut Tahfiz Al-Quran Al-Mizan, Dungun, Madrasah Darul Iman di Marang; Madrasah STC dan Pusat Tahfiz Anak Yatim Al-Sidiqi, Kuala Nerus dan Sekolah Menengah Darul Furqan, Besut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bantuan RM200 ringgit untuk setiap murid dari darjah 1 hingga Tingkatan 5 yang akan disalurkan pada Januari depan, adalah bersyarat kepada kehadiran ke sekolah.
“Kuasa penuh diberikan kepada guru besar dan pengetua untuk meluluskan bantuan tersebut, bagi memastikan ibu bapa lebih bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai persekolahan anak-anak,”katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan pendidikan sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya terletak kepada Menteri Besar, Menteri Pendidikan atau Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat.- BERITA RTM



KOMEN