Home » Langit Terbuka » CICW Malaysia ketengahkan perspektif Asia dalam wacana Islam global

CICW Malaysia ketengahkan perspektif Asia dalam wacana Islam global

GOMBAK, 25 November – Penubuhan pejabat Pusat Islam dalam Dunia Kontemporari (CICW) Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuka ruang lebih luas untuk mengetengahkan perspektif masyarakat Islam Asia dalam wacana global mengenai agama berkenaan.

Pusat itu berhasrat meneruskan legasi Allahyarham Dr M. Yaqub Mirza dengan mengutamakan kestabilan kewangan dan ketelusan pengurusan.

Penubuhan pejabat itu merupakan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperluas usaha CICW yang diasaskan Allahyarham Dr M. Yaqub Mirza di Universiti Shenandoah, Amerika Syarikat (AS), ke rantau Asia Tenggara.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, CICW Malaysia akan mempergiat hubungan dengan masyarakat Islam serantau, termasuk di Kemboja dan Thailand, serta membina asas operasi yang kukuh di negara ini.

“Kita juga akan bekerjasama rapat dengan pertubuhan masyarakat sivil serta mengekalkan hubungan konstruktif dengan kerajaan.

“Pusat berkenaan turut berhasrat meneruskan legasi Allahyarham dengan mengutamakan kestabilan kewangan dan ketelusan dalam pengurusan institusi.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Kehidupan dan Sumbangan Allahyarham Dr M. Yaqub Mirza di UIAM, di sini.

Menurutnya lagi, Allahyarham membangunkan CICW sebagai sebuah institusi yang memperkukuh pemahaman mengenai Islam kontemporari ketika sentimen Islamofobia semakin meningkat di AS dan Eropah.

Dalam bidang kewangan Islam pula, Allahyarham menekankan lima aspek utama pengurusan kekayaan, iaitu memperoleh pendapatan, menabung, melabur, berbelanja dan memberi sumbangan.

Mengulas persidangan sehari itu, beliau berkata, ia menghimpunkan sarjana, pengamal industri dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan kewangan Islam, pentadbiran zakat, pengalaman masyarakat Islam di Amerika Utara serta pembangunan komuniti.- BERITA RTM

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *