KUALA LIPIS, 26 November – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pahang telah menganjurkan Program YADIM Sejahtera: Kuliah Dhuha bertajuk Ilmu Dipandu Wahyu, Pemikiran Disuluh Adab di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Lipis.
Program ini menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Muhammad Nur Farid Mohd Abdduh, yang juga Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam merangkap Imam 2 Masjid Negeri Lama Lipis.
Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan kepentingan menjadikan wahyu sebagai panduan utama dalam mencari dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Menurutnya, wahyu berfungsi sebagai kompas agar ilmu dan pemikiran tidak tersasar daripada landasan Islam, sekali gus membantu manusia membezakan perkara baik dan buruk serta membawa manfaat dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengupas peranan adab dalam membentuk kematangan berfikir. Tegasnya, ketinggian ilmu tidak membawa makna jika tidak seiring dengan adab dan akhlak mulia. Oleh itu, masyarakat diseru agar sentiasa merendah diri, menghormati pandangan orang lain dan membuat keputusan secara matang.
Penganjuran kuliah dhuha ini memberi ruang kepada warga emas setempat untuk menambah ilmu dan memperkukuh kefahaman Islam, selain menjadi wadah dakwah berterusan YADIM Negeri Pahang kepada komuniti setempat.



KOMEN