Home » Citra Yadim » DMY Luqman Juara Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM 2026

DMY Luqman Juara Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM 2026

PUTRAJAYA, 28 November – Anak jati Baling, Kedah, Muhammad Luqman Mohd Zamri (DMY Luqman) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Daie Muda pada Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) 2026 yang berlangsung di Masjid Putra, di sini pada Sabtu.

Lebih membanggakan, penuntut Universiti Mu’tah, Jordan yang juga merupakan peserta paling muda dalam edisi kali ini turut merangkul Anugerah Imam Muda selepas menewaskan lima finalis lain.

Persembahan bertenaga beliau membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 selaku juara keseluruhan serta RM3,000 bagi kategori Anugerah Imam Muda, berserta hamper tajaan syarikat Halagel.

Mendedikasikan kejayaan berganda itu kepada kedua-dua ibu bapanya, DMY Luqman menzahirkan rasa syukur dan bertekad untuk terus aktif dalam lapangan dakwah bagi menyampaikan ilmu serta membimbing masyarakat.

Sementara itu, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ummi Maizatul Nabilah Jamalluddin (DMY Maizatul) merangkul Anugerah Muslimah Inspirasi, manakala penuntut Ibrahim Cecen Universite, Turkiye, Muhammad Suhail Saifulizham (DMY Suhail) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daie Qudwah.

Kedua-dua pemenang kategori tersebut masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta hamper tajaan Halagel.

Pada majlis sama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas kepada empat pelatih bukan finalis atas komitmen luar biasa sepanjang tiga bulan pengajian.

Mereka ialah Muhammad Fathi Danish Mohd Fitri (DMY Fathi), Nuha Najihah Norkhair (DMY Najihah), Nuhaa Insyirah Shafie (DMY Nuhaa) dan Nur Fatihah Fisal (DMY Fatihah).

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli.

Turut hadir ialah Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Timbalan Yang Dipertua YADIM, Profesor Madya Dr. Adi Anuar Azmin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah merangkap juri pertandingan, Profesor Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin serta barisan pengarah kanan dan pegawai YADIM.

Untuk rekod, seramai 27 pelatih menyertai ADMY 2026 yang menjalani latihan intensif selama tiga bulan di Institut Latihan Dakwah YADIM (ILDY), Hulu Langat.

Sepanjang tempoh tersebut, kesemua pelatih diberi pendedahan komprehensif merangkumi aspek dakwah silang budaya, penguasaan teknologi, pengucapan awam dan khidmat kemasyarakatan sebagai persediaan mendepani cabaran dakwah di lapangan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *