Home » Lagenda » Abdul Rahman Limbong : Ulama penentang Inggeris

Abdul Rahman Limbong : Ulama penentang Inggeris

ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID merupakan seorang tokoh agama yang berjuang menentang pihak British di Terengganu. Namanya sering dikaitkan dengan kebangkitan para petani di Hulu Terengganu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Limbong atau Tok Limbong dilahirkan pada tahun 1868. Ibunya berasal dari Johor, manakala bapanya dari Patani, selatan Thailand.

Tempat kelahirannya tidak dapat ditentukan tetapi yang pastinya beliau ialah anak watan Terengganu. Semasa kanak-kanak, beliau telah mengikut bapa saudaranya, Tun Mohammad Zaib, (Tun Mamat) menetap di Mekah.

Setelah bertahun-tahun di Mekah, beliau kembali ke Terengganu. Beliau menuntut pengajian agama dengan Haji Yaakub Paya Bunga, kemudian dengan Wan Musa Paya Bunga dan seterusnya dengan Tokku Paloh, seorang guru agama yang terkenal pada ketika itu.

Beliau meninggal dunia di Mekah pada 6 November 1929. Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) amat rapat dengan Tokku Paloh, guru kepada Abdul Rahman Limbong. Putera-puteri baginda pernah berguru dengan Abdul Rahman.

Abdul Rahman mempunyai sikap berhemah tinggi dan suka memencilkan diri tetapi peka dengan keadaan sekelilingnya. Beliau juga bersifat penyayang terhadap kanak-kanak terutama anak–anak yatim.

Selain berbudi pekerti, Abdul Rahman kuat beribadat. Sebahagian besar waktu malamnya dihabiskan dengan beribadat.

Pada hari raya pula, beliau biasanya mengurungkan diri untuk beribadat sebagai tanda tidak mahu menyulitkan orang ramai yang mengikut tradisi ketika itu, membawa makanan untuk guru-guru agama dan orang alim sepertinya.

Semasa pihak British menjadi penasihat dalam pemerintahan raja-raja Melayu di Terengganu, peraturan baharu berkenaan tanah dan pertanian diperkenal. Rakyat dipaksa meminta surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti pertanian dan aktiviti ekonomi lain di tanah sedia ada.

Tindakan itu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan petani.

Pada 19 dan 20 April 1928, Abdul Rahman Limbung didapati menyebarkan idea menentang peraturan baharu di Dungun.

Pada 4 Mei 1928 pemimpin-pemimpin kampung dari Hulu Terengganu datang menemui Abdul Rahman. Dalam pertemuan tersebut, Abdul Rahman menegaskan agar mereka tidak mengambil surat kebenaran untuk mengusahakan kegiatan pertanian.

Pihak British mendakwa kebangkitan para petani itu dirancang oleh Abdul Rahman. Beliau dihadapkan kepada sultan dan dikenakan tuduhan cuba menderhaka kepada sultan.

Dalam perbicaraan, Abdul Rahman membela diri sendiri dan berhujah dengan hakim. Abdul Rahman menyangkal dakwaan beliau menghasut para petani dan cuba menderhaka kepada sultan.

Walaupun tiada bukti jelas yang membabitkannya, beliau akhirnya didapati bersalah dan dihukum buang negeri ke 
Mekah.

Tindakan berkenaan melumpuhkan semangat para petani yang ketika itu bangkit menentang struktur pentadbiran baharu diperkenal oleh penjajah.

Antara ciri yang membezakan Abdul Rahman dengan ulama-ulama lain ialah pembabitannya dalam sektor ekonomi seperti pertanian, perniagaan, perkilangan dan perikanan.

Beliau menceburi kegiatan ekonomi atas prinsip bahawa bumi adalah hak Allah dan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki asalkan tidak bertentangan dengan hukum-hukum syarak.

Beliau menjalankan kegiatan membuat terompah dan menenun kain untuk dibuat baju. Beliau juga mempunyai beberapa buah perahu bermotor untuk menjalankan kegiatan perniagaan dan perikanan.

Selain itu, beliau mengusahakan tanaman kelapa, padi, pisang dan kopi serta membuat bata dan kapur tohor.

Pihak British juga menuduh Abdul Rahman menderhaka terhadap Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Abdul Rahman menafikan segala tuduhan terhadapnya dan dibicarakan dalam kawasan Istana Maziah sebelum didapati bersalah.

Pada 2 Jun 1928, satu perintah buang negeri dikeluarkan oleh Jabatan Setiausaha Kerajaan Terengganu. Beliau dibuang negeri ke Mekah dan meninggal dunia di sana.

Sumber: www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *