Abdullah Hukum

0
3284

Susunan : Editor

Kalau ditanya kepada generasi muda hari ini kenalkah mereka kepada Abdullah Hukum? Saya jamin kebanyakannya akan menjawab tidak kenal, tidak tahu, pernah dengar tapi tidak tahu siapa ataupun paling kurang mereka akan menjawab, tidak pernah ambil pusing pun siapa dia.

Kalau ditebak kepada anak-anak kotaraya Kuala Lumpur mereka pasti tahu tentang Stesen LRT Abdullah Hukum dan Kampung Abdullah Hukum berhampiran Kerinchi. Siapa dia? Mungkin topik yang mereka tidak akan masukkan dalam kotak pemikiran mereka.

- advertisement -

Pencarian saya di laman internet, memang tidak dapat disangkal ramai golongan muda yang tidak maklum kaitan nama Abdullah Hukum ini dengan sejarah Malaysia.

Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Abdullah Rukun merupakan individu yang bertanggungjawab meneroka penempatan di Sungai Putih yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum. Kampung dalam bandar ini terletak di selatan sepanjang Jalan Bangsar, di antara Stesen LRT Abdullah Hukum, Aliran Kelana Jaya dengan Sungai Klang. Kawasan perkampungan ini dikelilingi dengan kawasan komersial yang lain seperti Bangsar, Mid Valley Megamall, The Gardens, Universiti Malaya dan Kerinchi.

Kampung Haji Abdullah Hukum ini asalnya merupakan penempatan awal masyarakat Melayu Bumiputera di Kuala Lumpur. Kampung ini mengikut sejarah telah wujud sejak 200 tahun yang lalu.

Abdullah Hukum yang berasal dari Kerinci, Sumatera telah dibawa bapanya berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu ketika berusia 15 tahun, merentasi Selat Melaka sehinggalah sampai di pantai Melaka pada tahun 1850.

Di Melaka, beliau dan ayahandanya telah menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara Allahyarham Tambi Abdullah, seorang saudagar yang kaya-raya di Kuala Lumpur yang bergelar ‘Datuk Abdullah’.

Setelah tiga hari berada di Melaka, Haji Abdullah Hukum bersama ayahandanya telah belayar pula menuju ke Pengkalan Kempas yang membawa barang dagangan seperti kain dan lain-lainnya. Haji Abdullah Hukum telah mengambil upah menggalas kain dari Pengkalan Kempas sehingga menuju ke Sungai Ujong dengan kadar upahnya lima sen sekati dari seorang saudagar kaya juga dari Kerinchi yang bernama Haji Abdul Rahman.

Di Sungai Ujong, Haji Abdullah Hukum cuba untuk mendapatkan pekerjaan terutama di lombong bijih timah yang dibuka oleh penduduk Cina di sana, tetapi beliau merasakan hasratnya itu tidak mungkin kesampaian, lalu beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Sungai Ujong berkelana menuju Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur begitu ramai orang-orang dari Kerinchi berkampung halaman, terutama di Bukit Nanas dan juga di Sungai Putih (kini Bukit Bangsar). Di sini juga dikatakan banyak peluang-peluang pekerjaan yang boleh diusahakan, seperti bercucuk tanam dan juga mengusahakan ternakan lembu dan kerbau.

Sebaik sampai di Kuala Lumpur, Haji Abdullah Hukum telah menumpang di rumah Haji Abdul Ghani di Java Street. Kuala Lumpur pada masa itu hanya mempunyai dua lorong sahaja iaitu Java Street dan Market Street, manakala Ampang Street (sekarang Leboh Ampang) dahulunya adalah sebuah pusat ceti. Di sini jugalah terdapat sebuah kolam ikan yang dimiliki oleh Almarhum Sutan Puasa.

Menurut kisah yang diceritakan, rumah-rumah kedai pada masa itu beratapkan atap bertam dan berdindingkan buluh, manakala para peniaga di situ pula ramai yang menjual kain dan makanan. Semuanya orang Melayu yang berketurunan Rawa dan Mandahiling. Sutan Puasa dan juga Raja Bilah merupakan di antara ketua masyarakat yang cukup berpengaruh pada masa itu.

Kedua-dua ketua masyarakat ini mengutip hasil dagangan daripada peniaga-peniaga yang berdagang di situ terutamanya yang menggunakan laluan Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang berdekatan di situ. Cukai bijih timah pada masa itu ialah satu ringgit sebahara (tiga pikul).

Kawasan Setapak sekarang, dulunya dikenali sebagai Ulu Sungai Tapak, manakala kawasan Air Panas hari ini dulunya dikenali sebagai Ulu Sungai Gombak. Kedua-dua penempatan strategik ini merupakan kawasan sawah padi yang dimiliki oleh Sutan Puas.

Haji Abdullah Hukum pernah mengambil upah membina tali air selama tiga tahun di Serambut (Batu 5 Gombak) dan di beberapa tempat yang berdekatan dengannya oleh Sutan Puasa. Sutan Puasa merupakan seorang ketua masyarakat yang amat disenangi oleh penduduk tempatan pada masa itu. Semua orang boleh mengerjakan sawahnya dengan kadar upahan sebanyak sepuluh gantang padi daripada setiap seratus gantang yang diserahkan kepada Sutan Puasa apabila musim menuai.

Haji Abdullah Hukum juga pernah menghadap Raja Laut iaitu Putera Raja Mahmud, di mana beliau telah meminta sebidang tanah untuk dijadikan kampung baru. Raja Laut telah memperkenankan permintaannya itu dengan memberikan kebenaran kepada Haji Abdullah Hukum untuk membuka sebidang tanah di Pudu, seterusnya melantik beliau sebagai Ketua Penduduk di situ. Terdapat ramai penduduk yang berasal dari Kerinchi mendiami kawasan penempatan baru ini (Kawasan Bukit Bintang sekarang ini).

Di Pudu, Haji Abdullah Hukum dan pengikut-pengikutnya telah menjalankan kegiatan bercucuk tanam sayur-sayuran, tebu, pisang, sirih dan berbagai tanaman yang lainnya, termasuk juga ada yang bersawah padi. Haji Abdullah Hukum yang menjadi Ketua Kampung di Pudu selama tujuh tahun itu juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dengan perahu dari Kelang ke Kuala Lumpur. Dia pernah mendapat upah empat puluh ringgit untuk sekoyan guni beras.

Raja Mahmud yakni Putera Sultan Muhamad juga telah memberikan surat kebenaran kepada Haji Abdullah Hukum untuk membuka kebun di Bukit Nanas (tapak Menara Kuala Lumpur sekarang). Begitu juga beliau telah memperolehi perkenan Raja Laut dan juga ‘Maxwell’ untuk meneroka penempatan di Sungai Putih, kini dikenali sebagai Jalan Bangsar. Semasa di Sungai Putih beliau juga telah membuka penempatan baru di Bukit Chandi Putra (Komples Angkasapuri sekarang).

Sebagai pengiktirafan pihak Istana kepada beliau, Haji Abdullah Hukum telah diangkat menjadi Ketua Kampung di Sungai Putih, dan kemudiannya diangkat menjadi Penghulu. Semasa menjadi Penghulu di Sungai Putih inilah beliau telah berjaya menyatupadukan tiga kaum utama yang terdapat di situ iaitu Melayu, Cina dan India. Dengan kejayaan itu juga, Haji Abdullah Hukum telah menamakan jalan utama di situ sebagai ‘Jalan Bangsa’, seterusnya hari ini dikenali sebagai ‘Jalan Bangsar’.

Haji Abdullah Hukum juga pernah terlibat di dalam peperangan di antara Selangor dengan Pahang. Sultan Abdul Samad telah memanggil beliau untuk membantu memperkuatkan benteng pertahanan Selangor. Beginda telah melantik Haji Abdullah Hukum menjadi Datuk Dagang dan menjadi Panglima di dalam peperangan tersebut.

Sebagai mengenang jasa beliau, Sultan Abdul Samad telah mengurniakan sebidang tanah seluas satu perempat ekar kepada Haji Abdullah Hukum. Tanah ini terletak berhampiran dengan Sungai Kelang dan begitu strategik dari segi perhubungan serta sesuai pula untuk menjalankan kegiatan bercucuk tanam. Sebagai Datuk Dagang, Haji Abdullah Hukum telah diberikan kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang membabitkan masyarakat kampung dan kawasan sekitarnya.

Penempatan itu telah dinamakan sebagai ‘Kampung Haji Abdullah Hukum’ dan terus menjadi tumpuan oleh pengikut-pengikutnya sejak tahun 1890-an lagi. Pekerjaan utama penduduk kampung pada masa itu ialah bersawah padi dan bercucuk tanam.

Selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad pada 1898, Haji Abdullah Hukum telah mencurahkan taat setia dan baktinya kepada putera baginda, Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Haji Abdullah Hukum yang sudah lama tidak balik ke kampung asalnya telah pulang ke Sumatera pada tahun 1929. Haji Abdullah Hukum telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 125 tahun.

Haji Mahmud, salah seorang daripada enam orang anaknya telah mengambil alih tugas sebagai Ketua Kampung sejak Haji Abdullah Hukum tidak lagi menjadi Ketua, sehinggalah Haji Abdullah Hukum membuat keputusan untuk pulang ke Sumatera.

Cucu Haji Abdullah Hukum, Haji Kamaruddin Bin Haji Mahmud telah mewarisi pusaka kampung ini sehingga sekarang. Kesan-kesan sepeninggalan Haji Abdullah Hukum termasuk sebuah rumah miliknya masih terdapat di Kampung Haji Abdullah Hukum.

Oleh sebab itu, kita tidak mahu nama Abdullah Hukum sebagai antara orang yang telah menyumbang kepada pembukaan sebuah perkampungan di Kuala Lumpur pada masa dahulu ini hanya tinggal sejarah yang dilupakan terutama oleh generasi Y dan generasi mendatang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here