Home » Citra Yadim » Acara menarik sempena JMU 2016

Acara menarik sempena JMU 2016

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Pelbagai acara menarik telah disediakan sepanjang program Jelajah Muamalah Ummah (JMU) 2016 yang akan bermula pada 23 September ini dan berakhir pada 27 September.

Bagaimanapun, program ini akan bermula secara simboliknya pada 22 September dengan acara perlepasan (flag off) peserta-peserta jelajah di perkarangan Masjid Negara oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Perjalanan jelajah ini bermula pada 23 September dan mereka dijangka tiba di destinasi pertama iaitu  Kampung Banggol Kewat, Kok Lanas bagi melaksanakan gotong-royong sebelum meneruskan perjalanan ke Politeknik Kota Bharu pada sebelah petang.

Pada sebelah malam pula akan diadakan forum bertajuk  `Kerja Halal Rezeki Haram’ yang menampilkan Pencetus Ummah (PU) Amin.

Pada 24 September, akan diadakan Celik Muamalah bersama PU Amin dan slot khas takaful oleh Takaful Ikhlas di Dewan Besar, Politeknik Kota Bharu, dan disusuli dengan progam Bicara Ummah Akhir Zaman dan pelancaran Sahabat Yadim bagi Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Jeli.

Seterusnya pada sebelah petang, akan diadakan majlis flag-off konvoi JMU 2016 dan mereka dijadualkan tiba di Pantai Kuala Abang untuk melaksanakan aktiviti pembersihan pantai dan penyerahan sumbangan JMU.

Pada sebelah malam, jelajah diteruskan dengan kuliah agama Fiqh Muamalah di  Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun.

Keesokan harinya, pelbagai program diadakan di PSMZA termasuk Seminar Celik Muamalah, Bicara Ummah Akhir Zaman dan perasmian kelab Sahabat YADIM bagi PSMZA, Politeknik Kuala Terengganu dan Politeknik Hulu Terengganu.

Program ini kemudian diteruskan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan dengan acara-acara yang sama. Ketika di Kuantan, konvoi juga akan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial (CSR) seperti membaik-pulih surau.

Acara kemuncak JMU 2016 adalah di Politeknik Muadzam Shah pada 26 September yang bermula dengan program gotong-royong membaik pulih Pusat Jagaan Permata.

Pada sebelah malam, turut diadakan Konsert Malam Kalimah Cinta bersama Heliza Helmi dan Hafiz Hamidun yang akan memberikan persembahan nyanyian berunsur Islamik.

Kemuncak program JMU 2016 iaitu pada 27 September dimulakan dengan Simposium Kewangan Islam dan diikuti dengan program Magnet Kejayaan yang diterajui oleh artis terkenal, Yatt Hamzah.

Program ini akan diakhiri dengan majlis penutupan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *