Home » Langit Terbuka » AFFIN ISLAMIC Rancang Produk Pembiayaan ASB Islamik

AFFIN ISLAMIC Rancang Produk Pembiayaan ASB Islamik

PRESIDEN MSU, Professor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid (tiga kiri) bersama Ketua Eksekutif Affin Islamic Bank Bhd (AFFIN ISLAMIC), Nazlee Khalifah (tiga kanan) hadir pada majlis pelancaran kerjasama strategik dengan Management & Science University (MSU) di Shah Alam, hari ini. - Foto Berita Harian

SHAH ALAM: Affin Islamic Bank Bhd (AFFIN ISLAMIC) akan melancarkan produk pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) patuh Syariah yang pertama menjelang akhir suku pertama tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Nazlee Khalifah, pihaknya melihat potensi pertumbuhan yang signifikan menerusi pengenalan produk berkenaan.

“Ia dijangka menyumbang kepada pertumbuhan AFFIN ISLAMIC yang disasar mencecah 10 hingga 15 peratus tahun ini.

“Selain itu, pertumbuhan itu akan disumbangkan oleh pembiayaan gadai janji, auto, perniagaan dan juga projek kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kerjasama strategik dengan Management & Science University (MSU) di sini, hari ini.

Kerjasama berkenaan menyaksikan AFFIN ISLAMIC menawarkan pembiayaan pelan pendidikan melalui Affin Pembiayaan Pendidikan-i sehingga RM150,000 kepada pelajar MSU yang layak dengan tempoh pembiayaan selama 15 tahun.

Berdasarkan konsep Ijarah, pembiayaan itu terbuka kepada pelajar berusia 18 hingga 45 tahun yang akan mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda atau pasca siswazah.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi AFFIN ISLAMIC, Mohd Suffian Haron; Ketua Eksekutif Affin Bank Bhd, Kamarul Ariffin Mohd Jamil serta Presiden MSU, Professor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama berkenaan, Nazlee berkata selain MSU, pihaknya juga sudah berunding dengan 16 lagi institusi pendidikan swasta bagi menawarkan pakej berkenaan.

“Objektif pakej pembiayaan seperti ini ditawarkan ada bukan berasaskan keuntungan tetapi ia lebih kepada manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Sehingga kini, pelan pendidikan berkenaan telah diluluskan kepada 26 pelajar MSU dan lebih 100 pelajar lagi masih di peringkat penilaian. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *