Home » Langit Terbuka » Agensi pengurusan bencana diarah tumpu perkasa komuniti

Agensi pengurusan bencana diarah tumpu perkasa komuniti

Strategi pengurusan bencana ini termasuk memperkasakan pengurusan risiko di peringkat masyarakat dan komuniti, tanpa mengetepikan golongan rentan bencana seperti wanita, warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya, jelas Timbalan Perdana Menteri. - Foto Hiasan FMT

PUTATAN – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta semua agensi yang terbabit dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan pengurusan bencana supaya memberi tumpuan kepada usaha memperkasa masyarakat, komuniti dan agensi daerah dalam pengurusan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia perlu dilaksanakan melalui latihan dan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti (CBDRM) bagi membentuk negara dan komuniti yang berdaya tahan terhadap bencana.

Katanya, langkah itu sejajar dengan komitmen mewujudkan Strategi Pengurangan Risiko Bencana di Peringkat Tempatan menjelang 2020 seperti dizahirkan pada Persidangan Menteri Asia berkaitan Pengurangan Risiko Bencana di Mongolia pada Julai tahun lalu.

“Strategi ini termasuk memperkasakan pengurusan risiko bencana di peringkat masyarakat dan komuniti, tanpa mengetepikan golongan rentan bencana seperti wanita, warga emas, kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan lain-lain seperti imigran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian wang ihsan kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Dr Wan Azizah berkata, tindakan pencegahan melalui program mitigasi pengurangan risiko bencana, menambah baik perancangan kesiapsiagaan dan tindak balas bencana serta pemulihan semula selepas bencana adalah inisiatif yang wajar diaplikasikan semua pihak dalam kitaran pengurusan risiko bencana.

“Dalam konteks ini, NADMA bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan bencana di peringkat negeri dan daerah, dengan sokongan pelbagai pihak seperti universiti, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa berusaha meningkatkan strategi pengurusan risiko bencana ke arah pengukuhan daya tahan terhadap bencana di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mengambil maklum mengenai tindakan pengurangan risiko bencana di negara ini khususnya di Sabah yang mempunyai risiko pelbagai bahaya seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi yang perlu dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira kepentingan manusia, aktiviti sosio ekonomi dan alam sekitar.

Beliau berkata, sebagai contoh di di daerah Kota Belud, penduduknya berdepan dua situasi bencana iaitu kekurangan air apabila musim kemarau dan lebihan air yang menyebabkan banjir ketika musim hujan.

“Justeru, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran, dengan kerjasama daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Jabatan Pertanian sedang dalam proses melaksanakan kajian kemungkinan (feasibility study) secara bersepadu di Daerah Kota Belud.

“Ini membabitkan kajian penilaian kecukupan sumber air dan penyediaan pelan pengurusan sumber air bagi tujuan pertanian, domestik dan industri; kajian penilaian risiko bencana dan impak risiko banjir melalui penyediaan peta bahaya dan peta risiko serta penyediaan pelan mitigasi bagi meminimumkan impak bencana.

“Kajian ini diharap dapat menyediakan maklumat penting kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam perancangan pembangunan yang mapan dengan mengambil kira aspek risiko bencana dan impak alam sekitar,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pendekatan dari atas ke bawah itu, kerajaan Persekutuan juga mengiktiraf kepentingan dan sokongan pengurangan risiko bencana secara bawah ke atas.

Katanya, menerusi pendekatan itu, usaha memperkasakan fungsi masyarakat, komuniti dan agensi daerah dalam pengurusan risiko bencana seperti banjir wajar dijalankan secara berterusan seperti Latih Amal Gempa Bumi dan Tsunami di Tawau pada 14 November lalu. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *