Home » Langit Terbuka » Agong rasmi Menara MAIWP

Agong rasmi Menara MAIWP

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kanan) berkenan mencemar duli merasmikan Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan perasmian Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Lorong Haji Husein, di sini, hari ini.

Turut mengiringi baginda, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) PPZ-MAIWP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mohd Na’im berkata, bangunan baharu yang dibina bersebelahan Bangunan Daruzzakah iaitu lokasi agensi itu beroperasi dari 1993 hingga 2000, bertujuan memudahkan dan memberi keselesaan kepada golongan asnaf untuk berurusan dengan MAIWP.

“Pada 2011, pengurusan MAIWP melahirkan hasrat, telah sampai masa untuk MAIWP memiliki dan menduduki Ibu Pejabat MAIWP sendiri. Justeru MAIWP telah memutuskan untuk membeli tanah kosong yang terletak di sebelah Bangunan Daruzzakah milik MAIWP sebagai lokasi yang sesuai.

“Lokasi ini mudah diakses melalui kemudahan pengangkutan awam seperti bas, monorel dan terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur,” katanya dalam sembah ucapan alu-aluan Majlis Perasmian Menara MAIWP, di sini.

Beliau berkata, bangunan itu yang dibina di atas tanah seluas 24,000 kaki persegi (0.22 hektar) dan setinggi 24 tingkat, membabitkan perbelanjaan RM264 juta meliputi kos pembinaan sebanyak RM252 juta dan kos perolehan tanah RM12 juta.

“Adalah menjadi harapan agar Bangunan Menara MAIWP yang tersergam indah di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur ini menjadi antara mercu tanda institusi Islam yang berjaya mengangkat syiar Islam,” katanya.

Katanya, beliau bersama-sama warga MAIWP akan berusaha bagi meneruskan kecemerlangan agensi itu berhubung pengurusan kutipan dan agihan zakat di Wilayah Persekutuan yang sentiasa menjadi sumber rujukan dan contoh kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh Malaysia.

“Kecekapan dan kecemerlangan pengurusan MAIWP diiktiraf dan dikecapi saban tahun telah terbukti dengan penganugerahan Sijil Bersih Audit Negara Tanpa Teguran untuk kali ke-16 berturut-turut,” katanya.

Pada majlis sama, Seri Paduka berdua turut berkenan menyaksikan model Menara MAIWP sambil diberikan penerangan oleh Mohd Nizam.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian meneruskan lawatan ke dalam bangunan berkenaan serta turut menyantuni pekedai di situ.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *