Home » Langit Terbuka » Akta, enakmen, ordinan jenayah syariah di negeri lain masih sah selagi tidak dicabar

Akta, enakmen, ordinan jenayah syariah di negeri lain masih sah selagi tidak dicabar

KUALA LUMPUR: Peruntukan dalam akta, enakmen, ordinan jenayah syariah di negeri-negeri lain masih sah dan berperlembagaan serta boleh dikuatkuasakan, walaupun Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata ia selagi mana keperlembagaan peruntukan-peruntukan tersebut tidak dicabar dan tidak disytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Beliau berkata ini memandangkan keputusan Mahkamah Persekutuan hanya membabitkan 16 daripada 18 peruntukan kesalahan jenayah syariah di Kelantan, bukannya di negeri-negeri lain.

“Namun begitu adakah Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri-negeri untuk meminda undang-undang syariah di negeri-negeri?

“Apa yang boleh diputuskan, berdasarkan Fasal 2 Perkara 74, dan Butiran I Senarai II Senarai Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja merupakan pihak berkuasa utama yang perlu dilindungi dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mahu tahu bagaimana kerajaan menguruskan isu terbabit.

Zulkifli berkata buat pertama kalinya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam turut bermesyuarat secara mingguan.

Menurut beliau laporan pertama telah dihantar kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Feb lepas dengan penyelesaian tuntas berhubung isu berkenaan dijangka akan dapat diperoleh dalam tempoh setahun.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memartabatkan perundangan syariah di Malaysia selaras Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027, iaitu dokumen dasar yang menjadi rujukan utama mengenai hala tuju, perancangan dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.

Antara usaha diambil kerajaan untuk martabat perundangan syariah adalah melalui pindaan dan penggubalan undang-undang syariah, dengan memastikan setiap peruntukan dicadang dan digubal sentiasa selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan, katanya.–AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *