Home » Langit Terbuka » Akta Sekat Agama tidak halang kebebasan beragama orang bukan Islam

Akta Sekat Agama tidak halang kebebasan beragama orang bukan Islam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, orang bukan Islam bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam. - Foto FB

KUALA LUMPUR – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak akan menyekat kebebasan beragama terhadap orang bukan Islam.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Haji Idris bin Haji Ahmad berkata, orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang tersebut sekiranya penyebaran agama hanya ditujukan kepada golongan yang menganuti agama selain daripada Islam.

 

“Rang undang-undang ini bukan tujuan menyekat kebebasan beragama dalam kalangan orang bukan Islam. Mereka bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada 6 Oktober.

 

Ahli Dewan Negara itu menjawab soalan lisan tambahan yang mempertikai kewajaran undang-undang tersebut dilaksanakan sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan selain bebas beragama secara aman.

 

Sebelum itu, Idris diminta menyatakan status Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sudah sedia dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada tahun lepas.

 

Kata Idris, jawatankuasa teknikal sudah menubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti secara mendalam sekali gus mencadangkan penambahbaikan terhadap rang undang-undang berkenaan bagi memastikannya selari dengan Perlembagaan.

 

“Kedua-dua undang-undang ini akan dimuktamadkan kelak dan akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam persidangan penyelarasan undang-undang syarak dan sivil yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 14 Oktober ini,” katanya.

 

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Yang Berhormat Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan memperkenalkan 11 RUU termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam bagi memperkasa undang-undang syariah di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.-UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *