Home » Wacana » Al-Quran jawab tentang keganasan

Al-Quran jawab tentang keganasan

sumber

Gambaran buruk Barat terhadap Islam, Nabi Muhammad SAW, al-Quran dan umat Islam telah melalui sejarah panjang, sepanjang sejarah hubungan Islam dan Barat (Kristian) yang memakan ratusan tahun lamanya.

Pada masa-masa tertentu gambaran negatif tersebut sengaja digerakkan sebagai usaha membela diri atau menutup kelemahan, meningkatkan citra agama Kristian dan Yahudi serta bangsa Barat di hadapan umat Islam.

Dan yang amat menyakitkan hati, mereka secara agresif menyerang keyakinan agama umat Islam. Bagi orang Barat, Islam adalah the work of devil (kerja syaitan) manakala al-Quran pula a tissue of absurdities (memiliki sedikit kekarutan) dan Nabi Muhammad SAW itu a false Prophet (nabi palsu).

Persepsi dan tuduhan buruk ini disusuli pula dengan beberapa peristiwa yang menggemparkan umat Islam pada September 2005 di mana akhbar Lylland Posten menyiarkan 12 karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai bentuk penghinaan terhadap agama Islam.

Tidak cukup dengan peristiwa itu paparan mengenai tentera Amerika Syarikat di penjara Guantanamo (Cuba) menginjak-injak dan mengoyak-ngoyak al-Quran sebagai menggambarkan kebencian yang amat sangat Barat terhadap Islam.

Dan yang terbaru gambaran buruk terhadap Islam disampaikan melalui penyiaran filem bertajuk Fitna oleh ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders. Filem tersebut dikatakan memberikan gambaran buruk terhadap Islam, menghina serta mengkritik al-Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Filem ini juga dikatakan menunjukkan kenyataan paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan antaranya menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Mereka terlalu prejudis terhadap Islam dan cuba memancing kemarahan umat Islam dengan membuat tuduhan seolah-olah inti ajaran al-Quran menghalal atau menggalakkan keganasan.

Sedangkan hakikatnya terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru umat manusia agar mempunyai sifat timbang rasa dan mementingkan kedamaian. Bahkan ia adalah ciri khusus yang terdapat dalam al-Quran.

Allah menghendaki supaya semua hamba-Nya hidup di dunia ini dengan aman dan stabil serta taat kepada-Nya dalam keadaan menjauhi kekejaman, perbalahan dan permusuhan.

Aman

Al-Quran telah menetapkan tempat-tempat aman. Ia juga telah menentukan masa-masa aman serta keadaan yang tidak dibenarkan padanya permusuhan, melakukan dosa, benci-membenci dan pertumpahan darah. Wahyu Ilahi ini menyeru ke arah kebaikan dan kebajikan dalam semua perkara.

Ia juga menggalakkan persaudaraan, kesamarataan, kerjasama, berlembut, berbudi pekerti yang tinggi, merendah diri dan mempunyai sifat pemaaf. Malah tokoh Barat Gustave Lebon, sejarawan tersohor pernah mengakui akan keagungan al-Quran.

Agama bertujuan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan tidak pernah bertujuan membangkitkan massa untuk melakukan suatu kekerasan atau penyerangan. Ajaran di dalam al-Quran juga mengharamkan perbuatan membunuh anak-anak, menanam bayi perempuan hidup-hidup dan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Selain itu, ia juga melarang menakutkan mereka yang telah menyerah diri untuk mendapatkan keamanan.

Al-Quran secara jelas melarang pemaksaan keyakinan kerana tindakan kekerasan akan melanggar hak asasi dan hak kebebasan nurani. Satu sistem keyakinan yang berbeza tidak dianggap penyebab sah untuk melakukan kekerasan atau perang dalam hukum Islam. Al-Quran sendiri menegaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam).”

Al-Quran juga membolehkan serangan hanya dibuat demi mempertahankan diri ketika diserang atau diusir dari kampung halaman atau tidak diakui hak-hak asasi kita. Bahkan dalam kes-kes yang membolehkan peperangan, al-Quran tidak pernah mengizinkan pembunuhan ke atas orang yang tidak berdosa dan memerintahkan umat Islam untuk segera meletakkan senjata apabila pihak lain menuntut perdamaian.

Al-Quran juga menyebut bahawa salah satu nama Allah adalah Al-Salam yang bermakna damai (yang melimpah keamanan) – Surah al-Hashr ayat 23. Jelas bahawa seluruh semangat yang ada dalam al-Quran sesuai dengan konsep tersebut.

Ajaran Islam juga menekankan perpaduan manusia melalui kesamarataan, dan menyeru kepada kehidupan bersama antara semua bangsa manusia, orang dan kaum dalam suasana kasih sayang.

Ungkapan universal yang perlu digunakan pada era globalisasi ini iaitu makna persaudaraan. Ia dapat ditunjukkan dalam pergaulan antara manusia secara menyeluruh. Yang dimaksudkan adalah saudara sesama manusia, kerana manusia seluruhnya merupakan keluarga besar, yang memiliki kesamaan dalam penghambaan kepada Allah SWT dan sebagai anak-cucu Adam.

Orang yang berprasangka bahawa seseorang Muslim harus membenci setiap orang kafir, tanggapan mereka itu salah. Ini kerana Islam hanya mengharamkan cinta kepada orang yang menentang dan memusuhi Allah dan Rasul-Nya.

Sehingga hari ini, dendam orang kafir masih belum padam. Mereka berterusan melabel Islam sebagai pengganas. Jadi, apakah peranan kita sebagai oleh seorang muslim untuk menjelaskan tentang semua maksud al-Quran tersebut?

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *