Home » Langit Terbuka » Amalan menegur digalakkan tapi perlu berhemah, bijak

Amalan menegur digalakkan tapi perlu berhemah, bijak

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman.

KUANTAN 15 Jan. – Amalan tegur-menegur digalakkan di dalam Islam namun  dengan cara berhemah dan penuh kebijaksanaan, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata, menegur sesuatu perkara baik lagi terpuji dan dalam Islam, tindakan itu jelas menunjukkan seseorang itu mempunyai keberanian dalam menegakkan sesuatu hukum agama.

“Kita digalakkan menegur atau memberi peringatan sesama umat dengan menggunakan pelbagai cara termasuklah menegur dengan tangan. Jika tidak berjaya boleh menggunakan lidah dan seterusnya dengan hati.

“Sikap menegur memang perkara baik dan saya memuji orang yang cuba berbuat demikian tetapi perlu bijak bagi mengelak pergaduhan dan masam muka,” katanya.

Menurutnya, tegur menegur perlu diambil perhatian bagi kedua-dua belah pihak.

“Kekecohan atau sebarang pergaduhan tidak sepatutnya  berlaku kerana mereka yang ditegur juga perlu menerima malah seharusnya berdoa kepada ALLAH SWT dan  berterima kasih kerana ada insan cuba menegur ke jalan lebih baik.

“Mereka (orang yang ditegur) tidak perlu berlawan atau naik angin sekiranya perkara yang dilakukan ternyata salah di sisi agama, harus menerima dengan lapang dada.

“Pernah sahabat Nabi Muhammad SAW menerima teguran namun mereka berdoa kepada ALLAH SWT sebagai tanda terima kasih dan berharap dapat memperbaiki diri hasil teguran tersebut,” katanya.

Abdul Rahman berkata, sekiranya masyarakat sekarang sudah tidak boleh menerima sebarang teguran, ia adalah sesuatu yang berbahaya.

Sementara itu, bagi pendakwah bebas, Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata, manusia tidak mudah untuk berubah dengan menerima satu teguran.

“Mereka yang ditegur itu mungkin jahil dalam agama, dididik luar daripada lingkungan keagamaan atau sebagainya hingga menyebabkan sukar untuk menerima.

“Justeru, untuk menegur seseorang itu perlu menggunakan kebijaksanaan dan beradab terutama perkara membabitkan hukum agama.

“Di samping berhadapan dengan manusia yang mempunyai perasaan, ia juga bagi mengelakkan kita menjatuhkan aib orang lain, lebih-lebih kalau dilakukan di khalayak ramai,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *