Home » Langit Terbuka » Anggota kanan AfD Jerman peluk Islam

Anggota kanan AfD Jerman peluk Islam

 Arthur Wagner

LONDON 2 Feb. –  Arthur Wagner, anggota kanan parti politik Jerman, Alternative for Germany (AfD), yang memeluk agama Islam, baru-baru ini berkata beliau berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan tindakan gereja mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Tahun lalu, parti AfD menjadi parti nasionalis pertama memenangi kerusi Parlimen Jerman sejak 1960-an yang kempennya banyak mengenai anti-Islam, malah menggunakan slogan ‘Islam tiada tempat di Jerman’ ketika pilihan raya.

Menurut laporan The Telegraph, Wagner, 48, yang kini menggunakan nama Ahmad, meletak jawatannya sebagai ahli jawatankuasa kanan dalam parti berkenaan namun mahu kekal dalam AfD untuk membina hubungan baik antara umat Islam Jerman dengan masyarakat.

Beliau memeluk Islam Oktober lalu, namun merahsiakannya kerana tidak pasti bagaimana hendak memberitahu rakan-rakannya dalam parti.

Dalam temuramah dengan akhbar Bild, Wagner berkata antara sebab beliau memeluk Islam ialah kerana tidak dapat menerima perubahan dalam gereja.

Menurut laporan Daily Mail, bekas penganut Kristian Protestant itu berkata: “Satu sebab ada kaitan dengan perubahan yang berlaku dalam gereja yang tidak lagi sesuai dengan saya.

“Sokongan gereja terhadap perkahwinan sejenis dan penyertaan pastor ketika perarakan Christopher Street Day yang turut disertai kanak-kanak, tidak boleh saya terima.”

Menurutnya, beliau menimbangkan untuk memeluk Islam sejak 2015, ketika mengunjungi bandar Ufa di Russia yang majoriti penduduknya masyarakat Islam Tatar.

Sementara itu, Ketua Bahagian AfD di Brandenburg, Kai Berger, berkata mereka mengetahui mengenai Wagner memeluk Islam melalui media dan amat kecewa dengan tindakannya.

“Ramai ahli parti mahu dia meninggalkan AfD tetapi malangnya kami tidak boleh memecatnya sebagai ahli parti,” katanya. – Agensi

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *