Home » Langit Terbuka » Anwar mahu peluang pelajari Islam tersedia sebaiknya

Anwar mahu peluang pelajari Islam tersedia sebaiknya

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agensi agama dan pertubuhan dakwah mengemukakan pandangan bagi memastikan peluang memperoleh ilmu Islam tersedia sebaiknya.

Anwar berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan mualaf mengambil kesempatan agar berlumba-lumba menimba ilmu Islam sebenar dengan penuh keterujaan.

Islam merupakan agama indah yang mampu memberi kebahagiaan hakiki kepada setiap insan tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asli atau lain- lain, kedudukan sama ada kaya, miskin, berjawatan atau di mana mereka berada melalui panduan lengkap sebagai mana tertera di dalam al-Quran dan Al Hadith.

Keindahan Islam hanya dapat dirasai sekiranya seseorang itu benar-benar memahami, mengamali serta menghayati setiap kandungan ajarannya yang sejati tanpa ada bercampur-baur dengan fahaman yang boleh mengelirukan dan boleh menjerumuskan kesucian Agama Islam kepada bentuk negatif seperti perpecahan, kebencian dan kemunduran,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa majlis perasmian Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di sini pada 10 Oktober.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penyebaran pemahaman Islam yang tepat dapat meningkatkan keyakinan Muslim terhadap agamanya serta mampu memberi kejernihan fikiran kepada mereka yang bukan Islam agar tidak wujud salah tanggapan.

“Usaha ini dapat dilihat melalui peranan petugas-petugas barisan hadapan JAKIM dan JAIN atau MAIN antaranya Penggerak Masyarakat Orang Asli, Mubaligh, Guru Agama dan lain-lain.

Mereka yang ditempatkan seluruh negara walaupun dengan gred perjawatan rendah serta sebahagiannya bertaraf kontrak sentiasa berusaha melaksanakan tugas memberi penerangan berkaitan Islam dengan amat baik,” ujarnya.

Justeru itu katanya, kebajikan petugas-petugas dalam memikul amanah dipertanggungjawabkan akan diberi perhatian sebaiknya oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan JAKIM tanpa ada yang tercicir menikmati kemudahan yang ditetapkan. – Kosmo

Artikel Berkaitan

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *