Home » Ensiklopedia » Apa ada pada K-Pop?

Apa ada pada K-Pop?

Entri ini bukan untuk mengulas atau sekalipun menjatuhkan kesalahan kepada para gadis yang telah disebarkan adegan mereka merangkul dan dirangkul oleh artis K-Pop baru-baru ini. Kiranya, meletakkan kesalahan total kepada gadis-gadis tersebut itu juga tidak wajar. Cuma, diharapkan mereka lebih berhati-hati dan selepas ini mengawal rasa taksub dan kagum mereka terhadap  “oppa” dari negara yang terkenal dengan pembedahan plastik ini.

Mana-mana aliran muzik pasti ada perintis yang telah membawa aliran tersebut dikenali. K-Pop, akronim kepada Korean Pop atau muzik Korea Pop berasal daripada Korea Selatan. Pada masa kini, muzik K-Pop menjadi salah satu muzik popular dan kegemaran bukan sahaja kepada penduduk Korea malah sehingga ke peringkat antarabangsa. Dikatakan, muzik pop khas Korea memiliki ciri khas unik yang tidak dimiliki oleh jenis muzik lain.

Muzik K-Pop pertama muncul pada tahun 1930-an yang pada awalnya berasal daripada muzik pop Jepun. Sekitar tahun 1960-an, pengaruh muzik barat masuk dan meningkatkan populariti muzik rock di Korea. Perintisnya adalah Cho Yong Pil.

Era tahun 1990-an, muncul pula muzik pop moden dengan kombinasi aliran muzik rock, rap dan techo. Kemunculan Seo Taiji and Boys telah mengubah industri muzik di Korea pada era itu.

Tahun 2000 yang merupakan tahun kemuncak, muncul pula genre muzik R&B dan hip hop yang menyebabkan ramai artis dan karyawan muzik Korea mengetengahkan genre muzik seperti ini. Pada zaman ini jugalah, K-Drama turut meningkat jumlah peminatnya di mana drama empat musim terhasil iaitu Winter Sonata, Autumn in MyHeart, Summer Scent dan Spring Waltz. Ia telah mencetus fenomena di serata negara Asia dan juga dunia.

Setelah mendapat sambutan dan penjenamaan yang begitu meluas di Korea, syarikat-syarikat pencari bakat ni mula mengorak langkah mengembangkan lagi industri ini dengan memperkenalkan artis Korea ke mata dunia. Dikatakan modal untuk melahirkan seorang bakat baru adalah sebanyak 400 000 USD.

Bakat boyband dan girlband  ini terus digilap oleh syarikat-syarikat rakaman di Korea Selatan dengan melatih para remaja yang berbakat dengan latihan kareografi, seni suara dan membentuk badan supaya menggiurkan. Mereka mesti tampil segak, cantik, tampan, bergaya dan meyakinkan.

Oleh kerana semakin ramai dan kreatifnya karyawan muzik Korea dalam menghasilkan karya mereka, muncullah penggiat seni hiburan yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa seperti BOA, Rain, Shinhwa dan Ryu Shi-Won. Mereka telah berjaya menembusi pasaran Jepun, negara-negara Asia termasuk demam K-Pop yang berlaku di Malaysia kini.

Penyanyi Rain, idola K-Pop paling berpengaruh dari JYP Entertainment menjadi antara penghibur kelahiran Korea yang telah berjaya menempa nama di Hollywood. Rain, atau nama sebenarnya Jung Ji Hoon, telah mengeluarkan banyak lagu hit dan tampil di dalam drama-drama popular seperti Full House. Pada tahun 2004, Rain memenangi MTV Asia Grand Slam dan penghargaan lainnya yang membuatkan namanya dikenali ke seantero Korea. Selain itu, beliau juga diundang ke rancangan American MTV Video Music Awards di Miami dan  MTV Latin Video Music Awards di Mexico pada tahun yang sama.

Pada tahun 2006, Rain muncul pula dalam website majalah “Time” sebagai ‘100 Most Influential People Who Shape Our World’ dan juga tampil di New York  Madison Square Garden pada bulan Februari pada tahun yang sama. Pada tahun 2007, Rain tersenarai  dalam ‘World’s Most Beautiful People’. Kemudian terus melebarkan karier lakonannya dengan muncul dalam filem aksi produksi Wachowski Brothers yang berjudul ‘Speed Racer’ (2008) dan Warner Bros  yang berjudul ‘Ninja Assassin.’

Namun, di sebalik kesempurnaan yang dipaparkan di mata peminat, ada juga yang melalui lorong realiti kehidupan yang jauh berbeza daripada dunia glamor yang ditonjolkan kepada peminat yang fanatik kepada mereka.

Peminat-peminat pastinya membayangkan kediaman artis-artis ini adalah sebuah kediaman yang mewah dan lengkap dengan segala keperluan, sebaliknya ada di kalangan mereka yang hanya mampu menyewa apartment murah yang kecil dengan ruang yang sangat terhad. Di mana, di ruangan itulah mereka menjemur pakaian, menyimpan kasut, tidur dan makan. Realiti tidak selalunya indah, bukan?

K-Pop sebenarnya menawarkan segala yang indah dan formula itu ternyata berjaya sehingga hampir seluruh dunia menggilai artis seperti Super Junior, EXO, Ukiss, 2PM, T-Ara, After School, Girls Generation dan sebagainya. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *