Home » Langit Terbuka » Arahan Tutup Klinik 1Malaysia Belum Muktamad – KKM

Arahan Tutup Klinik 1Malaysia Belum Muktamad – KKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum memuktamadkan penutupan Klinik Komuniti atau Klinik 1Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan akan dibuat dlam masa terdekat.

“KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga kini KKM masih belum memuktamadkan atau memberi arahan penutupan Klinik Komuniti/Klinik 1Malaysia yang telah dikenal pasti.

“Ini memandangkan proses kaji semula ini masih perlu dimurnikan sebelum dimuktamadkan oleh pengurusan tertinggi KKM.

“Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini dan KKM memberi jaminan bahawa proses penutupan klinik yang berkaitan di bawah penjenamaan semula ini akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Hari ini tular berita Klinik 1Malaysia di lima kawasan Lembah Klang iaitu di Damansara Damai, Seksyen 24 Shah Alam, Kelana Jaya, USJ 1 di Subang Jaya dan Puchong Jaya akan ditamatkan operasi tidak lama lagi.

Noor Hisham berkata, penubuhan Klinik 1Malaysia bertujuan meningkatkan akses kesihatan primer di kawasan bandar, khususnya untuk komuniti berpendapatan rendah.

Ujar beliau, sejumlah 347 buah Klinik 1Malaysia telah beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bukan sahaja kepada golongan sasar, malah kepada masyarakat setempat.

Jelasnya, kementeriannya sedang dalam proses untuk mengkaji semula Klinik 1Malaysia yang mana ia akan dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti.

“Dalam proses semakan semula ini, KKM akan turut meneliti sama ada untuk menaik taraf beberapa Klinik Komunti ini kepada Klinik Kesihatan, menempatkan lebih banyak Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi/Pembantu Pegawai Farmasi ke Klinik Komuniti secara berperingkat, dan menutup beberapa Klinik Komuniti yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Antara kriteria yang diteliti untuk cadangan penutupan adalah jumlah kedatangan pesakit yang rendah, keberadaan fasiliti kesihatan lain yang berdekatan dan sewa atau kos operasi yang tinggi,” kata beliau. – MALAYSIAGAZETTE

https://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/07/24/arahan-tutup-klinik-1malaysia-belum-muktamad-kkm/

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *