Home » Langit Terbuka » AS bertindak potong sumbangan untuk bajet PBB

AS bertindak potong sumbangan untuk bajet PBB

NEW YORK 27 Dis. – Selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan merancang untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis baru-baru ini, pentadbiran AS kini mengambil langkah drastik dengan memotong sumbangan negara itu kepada bajet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas alasan ingin menjadikan badan dunia tersebut lebih cekap, selain menjaga kepentingan AS.

Bajet PBB kini berada dalam “fokus tajam” pentadbiran AS, kata seorang pegawai badan dunia itu kepada Bernama dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Keputusan Washington itu lebih jelas apabila wakil tetap AS ke PBB, Duta Nikki Haley mengeluarkan kenyataan bahawa negara itu berjaya memotong lebih US$285 juta daripada bajet PBB menerusi beberapa rundingan, yang akhirnya bersetuju menetapkan bajet badan dunia itu bagi tempoh 2018-2019 sebanyak US$5.4 bilion.

“Kami tidak akan membiarkan kemurahan hati rakyat Amerika diambil kesempatan atau kekal tanpa sekatan,” kata Haley, membayangkan bahawa dalam rundingan akan datang “anda boleh melihat yang kami akan terus mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan PBB dan pada masa yang sama, melindungi kepentingan kami.”

Wang, pada hakikatnya, akan menjadi kunci untuk mencapai objektif AS dalam badan dunia itu.

Perkara ini telah dijelaskan ketika Haley mengambil alih jawatan sebagai Duta AS pada awal 2017 dan beliau telah memberi notis kepada badan dunia itu bahawa akan terdapat “perubahan dalam cara kami beroperasi.”

Setiausaha Agung PBB António Guterres sendiri mengakui bahawa sesetengah bahagian dalam badan dunia itu perlu menjadi lebih cekap.

Kenyataan Haley mengenai PBB turut dipersetujui penyokong Trump, kebanyakan mereka melihat badan dunia itu sebagai sebuah “kelab sosial” semata-mata, yang secara umumnya digunakan untuk meluahkan retorik anti-Amerika dan membuat keputusan yang memudaratkan kepentingan AS.

Pembaca yang mengulas laporan berita dalam pelbagai saluran media AS telah memuji pengumuman Haley mengenai pemotongan sebanyak US$285 juta itu dalam bajet PBB.

Malah ada yang mendesak pentadbiran Trump menghentikan sumbangan negara itu kepada PBB berikutan peningkatan sentimen anti-Amerika dalam badan dunia tersebut.

Bagaimanapun, para sarjana Amerika dan pakar lain telah memberi amaran kepada pentadbiran AS bahawa taktik paksaan sedemikian boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang AS.

Menurut mereka, dunia tidak hanya akan patuh atau tunduk kepada Amerika kerana pengaruh kewangannya.

Washington merupakan penyumbang terbesar dalam bajet PBB, iaitu sebanyak 22 peratus yang dikira berdasarkan kuasa ekonominya seperti takrifan di bawah Piagam PBB.

AS telah membayar sejumlah US$1.2 bilion daripada bajet operasi PBB sebanyak US$5.4 bilion bagi tahun fiskal 2016-2017.

Selain itu, AS menyediakan bahagian terbesar iaitu 28.5 peratus dalam bajet berasingan untuk pasukan pengaman PBB sebanyak US$6.8 bilion bagi 2017-2018.

Memandangkan “ketidakcekapan dan belanja berlebihan oleh PBB telah diketahui ramai,” Haley menyifatkan pemotongan yang dicapai itu merupakan satu “langkah yang besar di landasan yang betul.”

AS juga memohon pemotongan sebanyak US$250 juta dalam bajet PBB bagi 2018-19, selain penjimatan berjumlah US$200 juta yang telahpun dicadangkan Guterres.

Haley tidak berhenti setakat itu sahaja malah memberi peringatan tegas kepada PBB.

“Meskipun kami berpuas hati dengan hasil rundingan bagi bajet tahun ini, anda boleh lihat kami pasti akan terus mencari jalan untuk meningkatkan kecekapan PBB, dan pada masa yang sama menjaga kepentingan kami,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Tiga mahasiswa USIM dakwah di New Zealand

SEREMBAN – Tiga mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan perjuangan dakwah penyebaran syiar Islam melalui latihan industri di Masjid Al Noor,

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *