Home » Langit Terbuka » Azan masjid tarik 
satu keluarga peluk Islam

Azan masjid tarik 
satu keluarga peluk Islam

LUMUT 1 Nov. – Tertarik setiap kali mendengar seruan azan dan penerangan tentang Islam menyebabkan tiga beranak di sini mengambil keputusan memeluk agama itu bersama-sama.

Ling Zhong Yuan atau Muhamad Hafizal Muha­mad Ali, 11, serta ibu bapanya akan mendengar dengan tekun azan yang berkumandang dari surau berhampiran rumah mereka walaupun tidak memahami maksud kalimah yang dilaungkan.

Menurut Muhamad Hafizal, sejak awal persekolahan lagi dia sudah mula tertarik dengan Islam dan sering mengikuti kelas Pendidikan Islam, malah dia juga boleh membaca muqaddam dan al-Quran.

“Saya juga melatih diri berpuasa bersama rakan-rakan pada bulan puasa walaupun hanya bertahan selama setengah hari. Guru agama di sekolah sering menceritakan mengenai solat, syurga dan neraka, pembalasan hari akhirat dan banyak lagi dan ini mendorong saya mencintai Islam,” katanya.

Muhamad Hafizal bersama ibu, Siti Nur Liana Abdullah, 36, dan bapanya, Muhamad Ali Abdullah, 56, antara empat saudara baharu yang diraikan dalam majlis pengislaman di Masjid Nurul Hidayah, Seri Manjung di sini kelmarin.

Sementara itu Muhamad Ali memberitahu, lokasi rumahnya yang terletak berhampiran surau dan sering mendengar azan menjadikan dia tertarik dengan Islam.

Katanya, setiap kali mendengar seruan azan, hatinya tenang dan me­ng­akui tertarik dengan alunan azan yang merdu.

“Kami sekeluarga akan bersama-sama mendalami Islam untuk menjadi umat Islam terbaik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Dakwah Pejabat Agama Daerah Manjung, Muhammad Nor Hafizi Ahmad Rais berkata, sejak awal tahun ini sebanyak 34 individu daripada pelbagai agama dan negara memeluk Islam di daerah ini.

Katanya, kebanyakan mereka datang ke pejabat agama daerah itu dan pihaknya memberi pe­nerangan dan kelas sebagai bantuan untuk mendalami agama dan menjalani kehidupan sebagai umat Islam.

“Ada segelintir individu yang dimomokkan dengan bantuan apabila memeluk Islam, namun kita mengambil inisiatif memberi bim­bingan secara berterusan dan ada juga di antara saudara baharu ini dihantar ke pusat pengajian agama di sekitar daerah ini,” katanya.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *