Home » Langit Terbuka » Banteras judi di kalangan Muslim

Banteras judi di kalangan Muslim

Sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) yang dinaungi pimpinan Melayu Islam tampil menyuarakan gesaan agar gejala judi dibanteras secara menyeluruh. Foto : https://www.bintangsbobet.com

IPOH 8 Jan. – Gabungan NGO Perak bersedia untuk membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi membantu pihak berkuasa menangani kegiatan judi dalam kalangan masyarakat Islam.

Kelmarin, sebanyak 53 badan bukan kerajaan (NGO) yang dinaungi pimpinan Melayu Islam tampil menyuarakan gesaan agar gejala terbabit dibanteras secara menyeluruh menerusi apa juga tindakan undang-undang sedia ada.

Ketua Penerangan Majlis Ayahanda Perak, Datuk Halim Ramli berkata, unit pasukan yang dibentuk itu nanti dapat membantu melancarkan gerak kerja pihak berkuasa sama ada dalam hal intipan mahupun operasi tangkapan dilakukan.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan dilakukan sebelum ini, kebanyakan premis perjudian yang berdaftar di negeri ini membenarkan pelanggan Islam sedangkan syarat operasi adalah sebaliknya.

“Kita telah membuat banyak aduan kepada pihak berwajib mengenai perkara ini, namun maklum balas diterima agak mengecewakan apabila dimaklumkan tidak cukup kakitangan.

“Jadi kami sepakat untuk menubuhkan satu badan bertindak dianggotai semua NGO yang ada di sini sekiranya pihak berwajib tidak ada  kakitangan yang mencukupi bagi membuat serbuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, semua ahli gabungan sedia beri kerjasama selagi tindakan diambil ikut lunas undang-undang dan bukan secara agresif.

Sementara itu, Presiden Persatuan Budak Bus Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud mendakwa, dianggarkan lapan pusat judi berlesen di Ipoh dikesan mempunyai pelanggan beragama Islam.

Bagaimanapun, katanya, pihak berwajib yang mempunyai autoriti tidak menampakkan kesungguhan untuk menyekat, menangkap dan mendakwa individu beragama Islam ini.

“Sebelum ini kita didatangi ramai pihak membuat aduan ahli keluarga dan pasangan mereka terlibat dalam aktiviti perjudian ini hinggakan berlakunya penceraian, hilang sumber pendapatan, berhutang dengan ah long dan kehilangan harta benda.

“Sudah sampai masanya kita mulakan langkah drastik dengan kadar segera menyiasat, lakukan serbuan, sekatan dan menahan individu Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan yang mengunjungi premis judi ini,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pondok Kadir Al Jaafar, Azli Haidi Abd Halim pula berkata, sekiranya premis ini tidak ikut peraturan ditetapkan, usaha perlulah dibuat agar lesen perjudian ditarik atau ditutup sepenuhnya.

“Harapan kita dengan penguatkuasaan yang ditunjukkan ini dapat memberi kesedaran dan menghalang umat Islam daripada terus terjebak,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *