Home » Langit Terbuka » BBC pilih hakim syarie Malaysia antara 13 wanita berinspirasi dari Asia

BBC pilih hakim syarie Malaysia antara 13 wanita berinspirasi dari Asia

- Nenney Shuhaidah ialah satu-satunya wanita Malaysia daripada kalangan 13 wanita di Asia yang dipilih berdasarkan sumbangan dan semangat perjuangan mereka - Foto Al Jazeera

PETALING JAYA – Nenney Shuhaidah Shamsuddin yang merupakan antara 2 hakim wanita pertama di Mahkamah Tinggi Syariah negara ini berikrar melindungi wanita Islam di mahkamah dan mengubah persepsi negatif rakyat terhadap undang-undang syariah.

Nenney, 42, ialah peguam di Jabatan Bantuan Guaman Syarie Selangor sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 2016 bersama Noor Huda Roslan.

Nenney dipilih badan penyiaran Britain, BBC antara 13 wanita berinspirasi dari Asia dalam “BBC 100 Women 2018″.

Beliau ialah satu-satunya wanita Malaysia daripada kalangan 13 wanita di Asia yang dipilih berdasarkan sumbangan dan semangat perjuangan mereka.

Tiga wanita dari China turut disenaraikan, Jepun (2), manakala Filipina, Thailand dan Indonesia masing-masing seorang.

Nenney mengendalikan lebih 5 pertuduhan sehari dan mampu mendengar sehingga 80 kes seminggu, daripada kewangan kepada khalwat, tetapi kepakarannya dalam bidang hak penjagaan kanak-kanak dan poligami.

Katanya, ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, sebelum seseorang suami dibenarkan berpoligami.

“Setiap kes adalah kompleks dan berbeza. Anda tidak boleh secara amnya menyatakan undang-undang Islam memihak kepada lelaki dan melayan wanita dengan buruk. Saya mahu betulkan salah faham berkenaan,” katanya kepada BBC.

“Saya mahu dengar daripada semua pihak, bukannya pihak lelaki sahaja. Saya mahu libatkan wanita juga untuk mengenal pasti adakah mereka terlibat sama. Menjadi perkara penting untuk mereka turut bersetuju kerana jika saya dapati ada perkara sebaliknya, maka saya tidak akan benarkan hasrat berkenaan.

“Saya seorang wanita dan saya boleh memahami kebanyakan wanita tidak bersetuju dengan idea berkenaan, tetapi ia dibenarkan dalam Islam dan mahkamah di Malaysia memperuntukkan undang-undang tegas untuk laksanakan perkara ini.

“Seorang lelaki perlu mempunyai alasan kukuh sekiranya mahu berkahwin lagi. Dia mesti tunjukkan dirinya boleh menjaga kebajikan isteri pertama dan isteri seterusnya. Dia tidak dibenarkan mengabaikan sesiapa.”

Ada segelintir isteri yang membenarkan suami mereka berpoligami, beliau memberi contoh kes seorang wanita sakit yang tidak mampu menjaga anaknya.

“Wanita itu sayangkan suaminya dan mahu saya memberi kebenaran kepada suaminya untuk berkahwin dua, jadi saya benarkan,” katanya.

Beliau mempertahankan agama Islam memperuntukkan undang-undang ketat yang adil kepada semua pihak, walaupun pengkritik dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa undang-undang syariah sering disalahgunakan seperti kes 2 wanita disebat kerana mengaku bersalah melakukan hubungan seks di Dungun, April lalu.

“Kami tidak mempunyai bantahan terhadap undang-undang syariah yang tidak mendiskriminasi wanita, gay atau minoriti sosial dan agama.

“Agama tidak pernah menjadi alasan yang boleh diterima untuk melanggar standard hak asasi manusia di peringkat antarabangsa,” kata Timbalan Pengarah Human Right Watch Asia, Phil Robertson.

Nenney berkata, sebatan dalam undang-undang syariah bertujuan mendidik pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan undang-undang Islam tidak hanya berpihak kepada lelaki.

“Undang-undang ini wujud untuk melindungi hak wanita, melihat kebajikan mereka dan melindungi mata pencarian mereka. Islam mengangkat tinggi darjat wanita dan sebagai seorang hakim, kita perlu kembali kepada ajarannya dan mengekalkan kedudukan syariah.”

Bagaimanapun, beliau bimbang dengan lelaki Islam yang melangkaui prosedur ketat Mahkamah Syariah dengan bernikah di luar negara.

“Dia tidak akan terikat dengan undang-undang Malaysia sekiranya bernikah di luar negara. Sesetengah isteri bersetuju dengannya untuk melindungi suami mereka, tetapi mereka (isteri) tidak sedar ia akan digunakan untuk menentang mereka.

“Undang-undang syariah di negara kita melindungi kepentingan wanita dan lelaki pula akan dipertanggungjawabkan.”

Nenney berkata, beliau tidak pernah bermimpi akan dilantik sebagai hakim.

“Sebelum ini, kebanyakan hakim syarie lelaki mempersoalkan keperluan wanita dalam perkara ini.

“Sebagai seorang wanita, saya ragu-ragu dan takut. Kadangkala saya berasa tidak senang. Sebagai seorang wanita, saya berbohong sekiranya kata saya tidak merasa apa-apa.

“Tetapi saya seorang hakim dan perlu memastikan saya jelas dan mempunyai objektif.

“Jadi, dalam keputusan yang saya tetapkan, saya cuba mengutamakan perkara ini. Saya buat keputusan berdasarkan bukti terbaik yang saya dapat di mahkamah.” – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *