Home » Langit Terbuka » Bebas beragama jarum halus hakis Perlembagaan

Bebas beragama jarum halus hakis Perlembagaan

Datuk Aidit Ghazali

Gugat kedudukan Islam agama Persekutuan

KUALA LUMPUR 25 Mac – Perenggan ‘agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas’ dalam Perjanjian Pakatan Harapan yang diketuai DAP bertarikh 13 Disember 2016 jelas bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Penambahan perkataan ‘bebas’ dalam perjanjian itu dilihat sebagai ‘jarum halus’ mengugat ketetapan sedia ada dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’.

Menurut Pengerusi Yayasan Fitrah Malaysia, Datuk Aidit Ghazali, perjanjian dalam bentuk hitam putih itu adalah petanda kepemimpinan parti-parti dalam pakatan bagai merelakan kedudukan agama Islam akan diperkotak-katikkan.

Ujarnya, kepemimpinan pakatan juga sengaja mengambil kesempatan dengan menggunakan generasi baharu sebagai mangsa yang tidak arif dengan sejarah Malaysia selain ramai yang  mendapat pendidikan dari luar negara.

“Kebanyakan golongan muda tidak hidup di era sebelum merdeka, jadi mereka tidak begitu terasa dan menyedari impak apabila sesuatu perubahan dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perjanjian Bersama Kerangka Pakatan Harapan yang diketuai DAP menggariskan tujuh perkara yang antaranya bertulis; ‘Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di negara ini sejajar dengan Perkara 3’.

Sementara itu, Aidit menasihatkan kesemua pemimpin pembangkang supaya tidak menggunakan kaedah matlamat menghalalkan cara dalam berpolitik kerana banyak kesan lain termasuk masa depan negara yang perlu diambil kira.

“Huru-hara itu akan bermula dengan bahas di peringkat para akademik seterusnya berdemonstrasi dan pertumpahan darah sesama kaum berikutan perubahan-perubahan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *