Home » Persuasif » Belia Islam berhemah tinggi

Belia Islam berhemah tinggi

Oleh AZIMAH GHAZALI (Sinar Harian)

KAJIAN Allahyarham Dr Muhammad Uthman El-Muhammady mengenai proses membina ketamadunan menerusi garapan nilai-nilai murni dan adat menggambarkan suatu pandangan menyeluruh mengenai kepentingan jalinan elemen nilai-nilai murni dan adat dengan ajaran agama Islam. (Muhammad Uthman El-Muhammady, “Ibn Khaldun Dan Pemerkasaan Budaya Dan Tamadun Dengan Merujuk Kepada “Al-Muqaddimah,”  2007).

Menurut kajian beliau, pemerkasaan budaya ilmu, perkembangan pengetahuan, dan kemahiran hendaklah dijadikan bidang tumpuan agar dengan itu orang Islam akan menjadi umat yang mengutamakan ilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam menjalani kehidupan di samping menyempurnakan tugasan dan pengabdian kepada-Nya.

Dr Yusri berkata, fardu ain dan fardu kifayah perlu diimbangi tanpa melebih atau mengurangkan antara keduanya.

Menurutnya, kecekapan berfikir secara logikal yang terarah kepada kebaikan serta yang bersifat purposive dan teratur perlu disemarakkan dalam pendidikan formal dan tidak formal.

“Ilmu pengetahuan yang berperanan mendidik ini pula bukan bermaksud sekadar memenuhi otak dengan segala macam ilmu yang belum diketahui tetapi ilmu bermaksud mendidik akhlak dan jiwa mereka. Al-Ghazali pernah berkata: “Tujuan pendidikan ialah mendekatkan diri kepada ALLAH. Tujuan mempelajari segala ilmu pada masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwanya”.”

“Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada muridnya: “Wahai anak! Ilmu semata-mata pasti tidak akan menjauhkan maksiat di dunia ini, tidak akan membawa kepada ketaatan dan di akhirat kelak ia tidak akan memelihara kamu atau menghindarkan kamu daripada neraka jahanam,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu, dalam usaha membentuk keperibadian diri yang luhur dan terpuji, golongan belia harus mendekatkan diri, mempelajari dan memahami al-Quran dan as-Sunnah serta melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Malah, Profesor Yusof al-Qardhawi menyatakan pemuda-pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah mereka yang membaca al-Quran dan mempelajari sunnah al-Nabawiyyah. Jelasnya, melalui pendekatan diri kepada kitab suci al-Quran, golongan belia akan dapat membentuk sifat percaya kepada realiti dan mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh.

“Selain itu, mereka juga ikhlas melakukan amal kebajikan, saling berinteraksi dengan masyarakat serta hidup dalam keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

“Jelas ilmu pengetahuan salah satu elemen maslahat untuk melahirkan belia berkualiti demi kepentingan negara. Intelektual yang memiliki akhlak dan jiwa terdidik faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa,” katanya.

NGO belia main peranan

Melihat kepada konteks membangunkan belia berkualiti ini, kumpulan belia dan agensi-agensi bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan yang lebih efisien sebagai sokongan terhadap usaha-usaha dijalankan oleh kerajaan.

Yusri berkata, banyak program misalnya berbentuk sosial dan pembangunan ekonomi boleh disertai antaranya aktiviti dijalankan di bawah Majlis Penggalakan Ekonomi Belia seperti Kursus Asas Perniagaan, Program Bimbingan Usahawan Baru, Penajaan Latihan Usahawan Belia, Seminar Peluang Niaga Tani, Kursus Teknikal Belia Tani dan Penajaan Promosi Produk Belia.

“Ini penting kerana di samping menjana pertumbuhan ekonomi diri dan negara, secara tidak langsung program-program sedemikian juga menggalakkan belia mengetahui peredaran ekonomi negara serta mengetahui cara untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara daripada terus merudum.

“Selain itu, kreativiti dan inovasi perlu dijadikan antara sifat perlu ada dalam diri setiap belia demi memacu pembangunan negara. Hal ini kerana hanya mereka yang sentiasa berani mempelopori bidang baharu sahaja dapat mengecap kejayaan,” katanya.

Yusri berkata, teknologi maklumat terutama media sosial sememangnya sinonim dengan golongan belia. Justeru, pengaplikasian media sosial seperti Instagram, Facebook, Youtube, blog secara terpimpin juga dilihat boleh dimanfaatkan.

Menurutnya, jelas belia negara generasi kini menentukan hala cara pembangunan dan corak kepimpinan negara pada masa akan datang. Di samping ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, belia harus juga mempunyai sikap dan nilai yang positif seperti toleran, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara.

Fokus peserta

Sementara itu, peserta program, kakitangan badan bukan kerajaan (NGO), Sakinah Jaafar, 26, berpandangan supaya pelbagai program Islamik untuk belia kini tidak harus hanya fokus pada golongan tersebut yang sememangnya mempunyai latar belakang akademik Islamik.

Menurutnya, sebaliknya libatkan juga belia dari pelbagai kemahiran dan bidang akademik. Justeru, golongan ini boleh menyumbang idea berkaitan penambahbaikan untuk belia Islam mengikut kepakaran bidang masing-masing.

“Memang khuatir dengan keadaan belia masa kini. Tambahan pula bila dapat maklumat dalam program sebegini mengenai pelbagai gejala dan isu.

“Paling menakutkan apabila dimaklumkan kira-kira 80 peratus mereka di penjara kita terdiri daripada orang Melayu dan Islam. Kira-kira 80 peratus pula disebabkan najis dadah,” katanya.

Menurutnya itu agak membimbangkan apalagi jika tidak dibendung sudah tentu beri kesan pada generasi belia 10 tahun akan datang.

Muhammad Danial Muhammad Anuar, 21, pula berkata, program seumpamanya diharap dapat diadakan secara berkala supaya kesemua wakil belia Islam dapat memberi idea dan menjana kaedah untuk kebaikan.

Menurutnya, belia Islam dan Malaysia perlu bersinergi untuk maju dan lestari.

“Masalah belia hari ini yang saya nampak, kurang pegangan atau jadi diri. Jati diri kita goyah kerana terdedah dengan media massa dan laman-laman sosial. Banyak aktiviti yang tidak bermanfaat,” katanya.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *