Kata beliau, statistik turut menunjukan golongan yang tidak mengambil imunisasi ini akan mati dalam keadaan penyakit biasa kerana tiada ketahanan.

“Dalam Islam dan jabatan kami telah jelas berpandukan fatwa yang ada hukumnya harus dan boleh jadi wajib jika ia menjejaskan kesihatan anak itu.

“Tidak timbul soal haram atau sebagainya. Mereka yang membawa kepada perdebatan ini seharusnya berhenti berbuat demikian kerana ia akan menjejaskan ketahanan anak-anak itu apabila mereka dewasa nanti,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina di Subang, dekat sini hari ini.

Program anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Nordin Ibrahim dan Presiden Macma, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian. – Utusan Malaysia.