Home » Langit Terbuka » Berita palsu runtuhkan kehidupan, ancam negara

Berita palsu runtuhkan kehidupan, ancam negara

BUKIT GANTANG30 Dis.  – Berita palsu yang disebarkan menerusi Internet boleh meruntuhkan kehidupan individu serta mengancam kestabilan negara, tidak kira apa juga niat ia ditularkan, kata Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mazlan Ismail.

Beliau berkata penyebaran berita palsu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi turut dialami negara-negara maju seperti Perancis, Jerman dan Britain.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu diperkasakan lagi bagi menuju ke arah melahirkan warga digital masa depan yang bertanggungjawab demi keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Tindakan menyemak kesahihan dan sumber sesuatu berita adalah sangat penting sebelum disebarkan,” katanya ketika berucap pada program Karnival SEBENARNYA.MY Bukit Gantang di  Changkat Jering di sini, hari ini.

Karnival sehari itu dirasmikan Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafis Syed Abd Fasal selaku Pengerusi Jawatankuasa Karnival SEBENARNYA.MY Bukit Gantang.

Mazlan berkata setakat ini, sebanyak 76 kes penyebaran berita dan maklumat palsu dalam talian telah disiasat dan lima kes dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini oleh MCMC.

“Kes-kes ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua orang mengambil langkah berjaga-jaga ketika menggunakan Internet,” katanya.

Menyentuh mengenai portal SEBENARNYA.MY, Mazlan berkata ia berperanan sebagai sebuah pusat sehenti bagi rakyat  menyemak maklumat mengenai berita-berita tular yang tidak ditentusahkan.

Katanya sejak dilancarkan  pada Mac lepas, portal yang dikendalikan oleh MCMC itu telah menerima lebih 15.72 juta layaran oleh pengunjung dalam talian.

Mengenai program hari ini, Mazlan berkata ia bertujuan  mempromosikan portal SEBENARNYA.MY dengan lebih dekat kepada pengguna bagi mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat yang diterima secara dalam talian.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang menarik diadakan termasuk ceramah dan taklimat keselamatan penggunaan Internet, pemeriksaan kesihatan, pertandingan memasak, kenduri rakyat, busking dan cabutan bertuah. – Bernama

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *