Home » Citra Yadim » Bersatu buat keputusan

Bersatu buat keputusan

Demi memperkukuhkan perpaduan umat Islam

KUALA LUMPUR 20 Julai – Pihak berkuasa agama di setiap negeri perlu bersatu dalam membuat sebarang keputusan berkaitan Islam bagi mengelakkan perpecahan ummah.

Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Mohd. Zaman Khan berkata, sebagai contoh, sebelum sesebuah negeri membuat keputusan mengenai sesuatu fatwa, isu berkenaan perlu dibawa ke jawatankuasa pusat untuk dibincangkan terlebih dahulu.

“Setelah berbincang dan mencapai persetujuan, keputusan tersebut mesti diuar-uarkan supaya ada persefahaman dan tidak berpecah-belah.

“Ini merupakan salah satu usaha dalam memperkasakan majlis dakwah supaya menjadi badan yang betul dalam memupuk perpaduan ummah,” katanya ketika membahas usul dalam Perhimpunan Agamawan Kebangsaan di sini hari ini.

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) itu diadakan de­ngan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulama Malaysia dan Majlis Alumni Pe­ngajian Islam Kebangsaan.

Persidangan yang dihadiri kira-kira 300 agamawan itu dipengerusikan oleh Pengerusi Perhimpunan Agamawan Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz.

Dalam pada itu, pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah menggesa MDN memandang serius terhadap kelekaan sebahagian besar umat Islam dalam menjalani tanggungjawab menunaikan solat fardu.

“Banyak kajian telah melaporkan antara 70 hingga 80 peratus orang Islam yang sudah akil baligh di negara ini tidak solat lima waktu.

“Juga dicadangkan MDN me­nubuhkan satu gerak kerja yang lebih serius dalam menangani perkara tersebut,” katanya.

– sumber: https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *