Home » Analitis » Bola sepak ajar disiplin jemaah

Bola sepak ajar disiplin jemaah

KETIKA menulis artikel minggu ini, mata penulis sesekali memandang ke arah televisyen menyaksikan pertandingan bola sepak Piala Dunia Fifa di antara pasukan terkemuka dunia Portugal menentang Jerman.

Hakikatnya, permainan bola sepak diminati segenap lapisan masyarakat. Penulisan kali ini, penulis memfokuskan satu pengajaran penting daripada sukan bola sepak, iaitu semangat berpasukan dalam menentukan kejayaan sukan berprestij ini.

Idea ini tercetus selepas menonton perlawanan bola sepak antara Jerman dengan Portugal yang berkesudahan Jerman menewaskan Portugal dengan empat gol tanpa balas.

Walaupun Portugal memiliki pemain termahal dan pernah dinobatkan terbaik dunia iaitu Christiano Ronaldo, namun tetap kecundang dengan jumlah jaringan gol yang boleh dianggap memalukan.

Ternyata memiliki pemain terhebat sahaja belum tentu mampu menjanjikan kemenangan kepada sesebuah pasukan dalam permainan bola sepak.

Sebaliknya sukan bola sepak memerlukan kejituan gerakan berpasukan dengan penuh disiplin sebagaimana dipamerkan pemain Jerman yang tampak lebih meyakinkan.

Demikian juga gerak kerja sebuah organisasi tanpa mengira apa jua bentuk dan matlamat operasinya. Keberkesanan gerak kerja demi mencapai tujuan dan matlamat organisasi bergantung sejauh mana setiap warganya mampu melaksanakan amanah
secara berpasukan dengan disiplin yang tinggi.

Sehebat mana pun individu dalam organisasi, tentunya tidak sama impak yang mampu dicapai jika masing-masing bersikap individualistik. Lebih mendukacitakan jika masing-masing cuba menonjolkan kehebatan diri bagi tujuan membodek bos dan dinaikkan pangkat hingga tercetusnya budaya jatuh-menjatuhkan satu sama lain.

Sebab itulah asas kesatuan dan tindakan secara berpasukan dalam barisan yang teguh dan penuh disiplin amat ditekankan Islam sebagaimana firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh”. (Surah As-Saff:4)

Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan kerja berpasukan atau diistilahkan sebagai sebuah jemaah. Baginda SAW bersabda: “Janganlah kamu berpecah (daripada jemaah), dan hendaklah kamu bersama dengan jemaah (beriltizam), kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang menyendiri, manakala ia (syaitan) lebih menjauhkan diri daripada dua orang (yang bersama). Sesiapa yang inginkan kedudukan di tengah-tengah syurga, maka hendaklah ia beriltizam bersama jemaah.”(Riwayat Tirmizi)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah dalam kitab Fath al-Bari menerangkan maksud jemaah dalam hadis di atas sebagaimana disebut Imam al-Tabari: “Yang tepat maksud hadis ini ialah bersama dengan kumpulan umat Islam yang berada dalam ketaatan pemerintah yang mana mereka bersepakat melantiknya sebagai pemerintah”.

Pandangan Imam al-Tabari bersandarkan beberapa hadis lain sebagai pembuktian kepada keperluan mentaati pemerintah dan ketua, antaranya: “Sesiapa yang memisahkan diri daripada jemaah dan menghina kerajaan, maka dia akan bertemu ALLAH tanpa hujah yang dapat membela dirinya.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Mana-mana organisasi dalam konteks kenegaraan mahupun aspek kerja berpasukan memerlukan tahap disiplin yang tinggi, termasuklah sentiasa mentaati dan mengikut arahan ketua selagi tidak bercanggah prinsip syarak.

Kecenderungan segelintir dalam organisasi yang cuba mencetuskan riak-riak perpecahan dengan menimbulkan rasa tidak puas hati kepada ketua hingga kadangkala tergamak melakukan tohmah dan fitnahlah yang akhirnya meruntuhkan kesatuan dan institusi.

Jika budaya sebegini dibiarkan, tentu sekali akan menjadi barah yang akan menghancurkan seluruh organisasi secara perlahan-lahan.

Ini turut terzahir dalam perlawanan bola sepak antara Jerman dan Portugal. Apabila pemain pertahanan Portugal Pepe tidak dapat mengawal kemarahannya dan mementingkan diri sendiri hingga melakukan tingkah yang tidak wajar terhadap pemain

Jerman akhirnya menyebabkan beliau dikenakan kad merah oleh pengadil.

Natijahnya Portugal – pasukan terkemuka dunia terpaksa bermain  10 orang hingga tewas dengan jumlah jaringan amat memalukan. Demikianlah pentingnya disiplin dalam gerak kerja berpasukan yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan mahupun organisasi.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *