Home » Langit Terbuka » Britain berduka lagi

Britain berduka lagi

10 umat Islam cedera dirempuh van putih

LONDON 19 Jun – Britain terus berdepan de­ngan serangan keganasan terbaharu apabila sebuah van merempuh umat Islam yang baru keluar dari masjid Finsbury Park di sini, hari ini, mencederakan 10 orang jemaahnya.

Mail Online melaporkan, penyerang yang menaiki sebuah van putih sempat menjerit, ‘saya mahu bunuh semua umat Islam’ sebelum merempuh jemaah yang berada di siar kaki di luar Muslim Welfare House dekat masjid berkenaan selepas mereka selesai menunaikan solat tarawih.

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia semasa me­nerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum van itu merempuh pejalan kaki. Polis bagaima­napun, tidak pasti sama ada ke­matian lelaki berkenaan juga mempunyai kaitan secara langsung.

Sementara itu. Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, polis mengklasifikasikan insiden itu sebagai kemungkinan serangan pengganas dan beliau akan mempengerusikan satu mesyua­rat tergempar lewat hari ini berhubung serangan keempat yang direkodkan di Britian sejak bulan Mac lalu.

“Saya ingin merakamkan rasa simpati saya terhadap mereka yang cedera, ahli keluarga mereka dan anggota kecemasan yang bertugas di lokasi kejadian,” kata May.

Menurut polis, pemandu van berusia 48 tahun yang berjaya ditahan selepas diberkas oleh orang ramai, akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

Perkhidmatan Ambulans London berkata, pihaknya membawa lapan orang mangsa ke hospital manakala dua lagi dirawat ditempat kejadian.

Dalam pada itu, Datuk Bandar London, Sadiq Khan berkata, polis tambahan dikerah ke lokasi kejadian bagi memberi jaminan kepada masyarakat terutamanya mereka yang berpuasa dengan menyifatkan serangan terbabit sebagai serangan ke atas semua nilai toleransi, kebebasan dan kehormatan yang dikongsi penduduk London.

Pemimpin Parti Buruh, Jere­my Corbyn berkata, beliau amat terkejut dengan insiden itu yang berlaku dua minggu selepas tiga kumpulan militan merempuh pe­ja­lan kaki di London Bridge dan menikam orang ramai berhampiran restoran dan kelab malam mengakibatkan lapan orang maut.

Sementara itu, Majlis Islam Britain berkata, serangan itu me­rupakan satu manifestasi keganasan Islamofobia paling kejam di Britain dalam tempoh beberapa bulan dan menggesa kawalan ke­se­lamatan tambahan diletakkan di rumah agama.

“Agak jelas seorang lelaki ber­kulit putih dalam sebuah van se­ngaja merempuh kumpulan je­maah terbabit,” kata kenyataan majlis.

Menurut polis, mereka dimaklumkan tentang kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.20 pagi waktu tempatan mengenai kejadian di Seven Sister ­Road dekat kawasan Finsbury Park. – REUTERS – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *