Home » Langit Terbuka » Cadangan pindaan Akta 164 zalim kepada orang yang memeluk Islam

Cadangan pindaan Akta 164 zalim kepada orang yang memeluk Islam

BANGI, 24 Nov. – Pegawai Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Firdaus Zailani menyifatkan cadangan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) sebagai satu kezaliman daripada pihak kerajaan.

Ini kerana, katanya, jumhur ulama silam termasuk Mazhab Syafie, Hanbali serta Hanafi sendiri telah menetapkan secara jelas bahawa anak akan mengikut agama ibu atau bapa mereka apabila salah seorang daripadanya memeluk agama Islam.

Lantas, menerusi pindaan yang disebut bahawa kanak-kanak tersebut akan kekal berdasarkan agama ketika perkahwinan itu dilakukan secara jelas akan menzalimi orang yang memeluk agama Islam itu tadi, kata Ustaz Firdaus.

Bahkan, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2009 sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa agama anak adalah Islam apabila salah seorang ibu bapa menganut Islam.

“Lalu persoalannya adakah kerajaan benar-benar melihat ulama dan mufti yang ada sebagai penasihat mereka?

“Atau sekadar mengambil pandangan serta pendirian syarak apabila berkait dengan kepentingan kerajaan semata-mata?,” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan dan masyarakat perlu sedar bahawa isu ini bukan sekadar isu fiqh semata-mata, bahkan ianya berkait dengan maslahat umat keseluruhannya.

Malah, ianya juga menjadi satu titik tanda untuk menyaksikan sejauh mana pemerintah sebuah negara Islam bersungguh dalam memastikan setiap peribadi orang Islam dalam negara ini tidak dizalimi serta dipelihara maslahat mereka.

“Mana mungkin kita menyatakan bahawa kita memelihara kepentingan orang Islam apabila kita membiarkan anak-anak saudara seIslam kita dipertaruhkan akan agama dan masa depan mereka.

“Negara Islam bukan sekadar terletak pada nama dan slogan, tetapi ianya juga berkait dengan intipati serta bagaimana segala polisi yang dibuat oleh pemerintah benar-benar menjaga kepentingan umat Islam dan rakyat secara amnya,” tegasnya. https://www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *